Akui sahaja ‘lockdown’ tak berjaya, majikan beritahu kerajaan

Akui sahaja ‘lockdown’ tak berjaya, majikan beritahu kerajaan

Persekutuan Majikan Malaysia menggesa Putrajaya membenarkan perniagaan yang boleh mematuhi SOP beroperasi semula.

PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menamatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh kerana ia nampaknya gagal mengurangkan jumlah kes Covid-19 secara berkesan.

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata, PKP penuh dengan hanya 17 sektor ekonomi dibenarkan beroperasi sejak 1 Jun lalu tidak menyaksikan penurunan ketara jumlah jangkitan dengan kes harian masih berlegar sekitar 5,000 kes ke atas.

“Mungkin kerajaan perlu mengakui ‘lockdown’ tidak mendapat hasil yang diinginkan. Oleh itu ia tidak patut diteruskan.

“Kerajaan patut membenarkan semua majikan yang boleh mematuhi SOP segera menyambung operasi untuk mengekalkan perniagaan mereka,” katanya kepada FMT.

Shamsuddin berkata, majikan, pekerja dan rakyat menanggung kesan daripada sekatan itu dengan negara kerugian sehingga RM1 bilion sehari akibat “lockdown”.

Beliau memberi amaran kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dikategorikan sebagai 17 sektor perlu tidak mampu bertahan lebih dua bulan di bawah PKP penuh.

“Menyedihkan untuk melihat banyak syarikat mengalami kegagalan setiap hari dan ribuan lagi di ambang muflis yang akan menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada ekonomi, perniagaan serta pekerjaan.

“Dengan lanjutan ‘lockdown’, lebih banyak majikan tiada pilihan kecuali menutup operasi.”

Shaun Cheah, pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICC) berkata, angka ambang 4,000 kes yang ditetapkan kerajaan tidak patut dijadikan penanda aras untuk melonggarkan sekatan.

Sebaliknya, penanda aras lebih baik boleh ditetapkan berdasarkan kadar kes positif berkaitan jumlah ujian saringan yang dilakukan.

Beliau menggesa ujian saringan besar-besaran dalam komuniti dilakukan dan kerajaan perlu melihat perkembangan di negeri atau wilayah berbeza berbanding seluruh negara untuk melaksanakan “lockdown” bagi membenarkan kawasan dengan kes rendah dibuka semula.

Selepas lebih setahun melaksanakan pelbagai bentuk perintah kawalan pergerakan, beliau kesal dengan keadaan ekonomi sekarang yang “hampir tidak dapat dipulihkan”.

Setiausaha Agung Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Yeoh Seng Hooi turut mengkritik penanda aras yang digunakan Putrajaya kerana tumpuan lebih perlu diletakkan pada kadar kematian.

“Jika terdapat jumlah tertentu kes baharu tetapi tidak menyebabkan banyak kematian, adakah kita perlu menganggap musibah bakal berlaku?” katanya sambil menambah dasar perlu dibuat berdasarkan data dan analisis perbandingan.

Beliau berkata, tinjauan baru-baru ini dalam kalangan ahlinya mendapati lebih 70% daripada mereka tidak menjangkakan ia akan pulih akhir tahun ini dan 1/4 daripada mereka menjangkakan pemberhentian pekerja.

“Adakah kerajaan akan mengumumkan program subsidi upah dan bantuan moratorium pinjaman sehingga Disember 2021 untuk menyokong PKS yang tidak dibenarkan beroperasi?

“Walaupun kita memahami kepentingan kesihatan dan keselamatan awam, kejadian risiko sifar tidak berlaku. Dasar perlu ditujukan ke arah mengurangkan risiko.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.