Kes masih lebih 4,000, negara belum boleh beralih ke Fasa 2, kata Ismail

Kes masih lebih 4,000, negara belum boleh beralih ke Fasa 2, kata Ismail

Peralihan ke Fasa 2 hanya boleh dilakukan sekiranya tiga indikator nilai ambang dicapai, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob memperincikan indikator bagi fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.
PETALING JAYA:
Pelaksanaan penuh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 Fasa 1 akan terus dikekalkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes harian Covid-19 perlu turun di bawah 4,000 kes; kadar penggunaan katil di ICU pada paras sederhana; serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10%.

Sehingga kini kes harian jangkitan Covid-19 masih melebihi 5,000 kes.

“Secara keseluruhan, PPN adalah strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik Covid-19 yang merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

“Berdasarkan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan akan mengekalkan lagi tempoh Fasa 1 di seluruh negara seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sebelum disahkan hari ini.

“Ia mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP mengekang penularan wabak Covid-19 mengikut fasa PPN dan penilaian tidak lagi dibuat setiap 14 hari.

Ismail berkata, susulan Fasa 1 PPN masih dikekalkan semua SOP am PKP 3.0 masih diguna pakai, dengan semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor-sektor perlu yang disenaraikan dalam senarai positif Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Fasa 2 PPN: Sektor dibenarkan beroperasi diperluaskan

Ismail turut memaklumkan sekiranya negara beralih ke Fasa 2 apabila kes harian di bawah 4,000 senarai positif sektor yang dibenarkan beroperasi akan diperluaskan termasuk sektor pembuatan merengkumi automotif, getah, seramik, keluli, kilang perabot bagi tujuan eksport, serta simen.

Kelonggaran juga akan diberikan di bawah Fasa itu bagi sektor perdagangan dan pengedaran termasuk kedai buku, alat tulis, bahagian elektrik, telekomunikasi, kedai cuci kereta serta kedai gunting rambut dengan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Katanya, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan.

“Pergerakan rentas negeri bagi pasangan jarak jauh adalah dibenarkan bagi kes kecemasan dan khas sahaja dengan kelulusan polis.

“Dalam Fasa 2, pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 11 pagi dan terhad kepada enam komoditi iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

“Bagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka,” katanya sambil memaklumkan semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tidak bersentuhan fizikal dibenarkan.

Fasa 3 PPN: Rentas daerah dibenarkan

Katanya, bagi peralihan Fasa 3, semua aktiviti ekonomi adalah dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti berisiko tinggi dan disenaraikan dalam senarai negatif seperti SPA, rias kuku (manicure dan pedicure) serta pub dan kelab malam.

Katanya, pergerakan rentas daerah dibenarkan sepanjang Fasa 3 manakala pergerakan rentas negeri masih tidak akan dibenarkan.

“‘Dine-in’ di restoran dibenarkan terhad kepada dua orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal.

“Pasar-pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu juga dibenarkan beroperasi mengikut SOP semasa.

“Salon kecantikan (beauty salon) turut dibenarkan beroperasi ketika di Fasa 3 dengan mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan,” katanya.

Katanya, sektor pendidikan termasuk sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institut Latihan Kemahiran dan institusi-institusi pendidikan lain di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta agensi-agensi lain adalah tertakluk kepada Takwim KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta penilaian risiko semasa Kementerian Kesihatan (KKM) dibenarkan.

“Aktiviti-aktiviti sosial masih tidak dibenarkan semasa Fasa 3. Bagaimanapun, kelonggaran untuk menerima tetamu atau pelawat di kediaman dibenarkan terhad kepada 10 orang dalam satu-satu masa,” katanya sambil memaklumkan aktiviti pelancongan adalah dibenarkan dengan syarat pelancongan dalam negeri sahaja bagi Fasa 3.

Fasa 4 PPN: Hampir semua sektor dibuka

Sementara itu, katanya, Fasa 4 dapat dilaksanakan apabila bilangan kes Covid-19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok.

“Fasa terakhir ini akan membolehkan kita semua kembali semula kepada norma kehidupan seharian yang mana hampir kesemua sektor dibenarkan sepenuhnya tertakluk kepada SOP sedia ada yang telah ditetapkan,” katanya.

Ismail berkata, perincian mengikut fasa tersebut merupakan sebahagian senarai positif dan negatif bagi setiap fasa, manakala SOP kekal seperti yang telah diumumkan dan maklumat lanjut secara terperinci boleh di akses di laman sesawang MKN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.