Kita kini hidup bersama Covid-19, kata menteri

Kita kini hidup bersama Covid-19, kata menteri

Dzulkefly Ahmad berkata rakyat perlu sentiasa peka terhadap perkembangan terkini Covid-19.

Dzulkefly Ahmad pada Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Denggi Asean 2024 di Rumah Keluarga Angkatan Tentera Desa Setia Wira, Kuala Lumpur. (Gambar Facebook Kementerian Kesihatan)
PETALING JAYA:
Rakyat kini berada di fasa hidup bersama virus Covid-19 dan dalam peralihan ke arah meneruskan kehidupan seperti biasa, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat pasca-Kabinet peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini.

“Dalam mesyuarat pasca-Kabinet KKM, kita buat keputusan bahawa kita akan sekarang hidup bersama virus, kita ambil sikap untuk memulakan fasa ini sama seperti virus lain seperti influenza dan chikungunya.

“Maknanya kita kini kembali kepada normal, kalau ada berlaku apa-apa KKM sentiasa memantau. Dalam persiapan untuk masa hadapan kita sentiasa bersedia untuk kembali bertindak, buat masa ini kita kembali kepada normal…komunikasi akan dibuat dari semasa ke semasa andai berlaku kes,” katanya menurut Bernama.

Dzulkefly berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan, sempena sambutan Hari Denggi Asean 2024 di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira, Kuala Lumpur.

Katanya, rakyat perlu sentiasa peka terhadap perkembangan terkini Covid-19 dengan melayari data.moh.gov.my, bagi membolehkan mereka memantau status penularan wabak berkenaan dalam negara.

“Apa yang nak saya sebutkan kita kembali kepada normal, kalau bergejala pergi jumpa doktor untuk konsultasi dan rawatan, kalau di kawasan khalayak ramai sentiasa menjaga yang lain dengan memakai pelitup muka anda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.