Endemik: KKM bentang saranan, SOP baharu minggu depan

Endemik: KKM bentang saranan, SOP baharu minggu depan

Ketika ini Malaysia berada di fasa peralihan ke endemik sejak 1 April 2022.

Mei lalu KKM mengumumkan akan menilai semula status peralihan fasa ke endemik selepas pengisytiharan Kawasan Jangkitan Tempatan berakhir 30 Jun ini.
PUTRAJAYA:
Keputusan sama ada Malaysia akan memasuki fasa endemik Covid-19 akan dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) membentangkan laporan saranan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada Jemaah Menteri minggu depan, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Ketika ini, Malaysia berada di fasa peralihan ke endemik sejak 1 April 2022.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan KKM, Zaliha berkata semakan terhadap saranan dan SOP baharu itu akan mengambil kira garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), situasi kes antarabangsa dan kes jangkitan Covid-19 dalam negara.

“Status (peralihan) ini kita akan umumkan selepas saya membawa pembentangan kepada Jemaah Menteri…Bahagian Kesihatan Awam telah pun memberi saranan untuk kita laksanakan SOP yang boleh dikategorikan sebagai SOP baharu,” katanya.

Pada Mei lalu, KKM mengumumkan akan menilai semula status peralihan fasa ke endemik selepas pengisytiharan Kawasan Jangkitan Tempatan berakhir pada 30 Jun ini.

Setakat 17 Jun lalu, Malaysia mencatatkan sebanyak 5,112,019 kes termasuk kes import membabitkan 37,118 kematian.

Semalam, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan negara itu secara rasmi menamatkan status pandemik Covid-19.

Sementara itu, Zaliha berkata SOP kesihatan PRN di enam negeri yang akan diadakan bergantung kepada pengumuman status peralihan berkenaan.

“Akan bergantung kepada pengumuman SOP baharu. Kita tunggu,” katanya.

Enam negeri akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.