
Beliau sebaliknya menjelaskan bahawa kenyataan itu adalah suatu teguran supaya hubungan antara parti dalam kerajaan perpaduan dapat diredakan sekali gus menghentikan serangan sesama sendiri.
“Saya beri komen dengan harapan dapat memberi kesedaran kepada DAP dan Umno supaya janganlah bergaduh di tengah ramai. Petua orang tua dulu, jangan bergaduh di laman rumah. Jiran, orang lalu lalang tengok.
“Jadi saya harap apabila menegur itu, mereka menerima dengan baik dan bekerjasama lebih rapat, jika ada masalah jangan serang sesama sendiri. Itu tujuan saya apabila sentuh perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan pada program beli belah baju raya bersama 41 penghuni Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, Keramat, Kuala Lumpur, di sebuah pusat beli Belah di Bandar Utama.
Bekas naib presiden Umno itu berkata, tindakan beliau menegur kedua-dua parti tersebut disalah tafsir oleh banyak pihak termasuk pemimpin PH sedangkan niat beliau adalah untuk kebaikan bersama kedua-dua parti.
Katanya, teguran tersebut dibuatnya adalah berdasarkan pemerhatiannya di media apabila pemimpin kedua-dua pihak saling berbalas serangan terutamanya membabitkan isu bekas presiden umno Najib Razak.
Pada Ahad, Ismail berkata, ‘kahwin paksa’ antara Umno dan PH mungkin tidak mampu bertahan.
Kenyataan Ismail itu timbul susulan pemimpin Umno dan DAP bertelagah sambil mengkritik satu sama lain.
Bagaimanapun, kenyataan Ismail itu menerima kritikan daripada Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang berkata, kerjasama kedua-dua parti tersebut adalah kerjasama politik yang turut digalakkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Anthony Loke menegaskan beliau hairan mengapa bekas perdana menteri itu seolah-olah mahu lihat perpecahan dalam kerajaan perpaduan.