Hilang kerja ketika PKP, ibu kepada 3 anak mulakan perniagaan dari rumah

Hilang kerja ketika PKP, ibu kepada 3 anak mulakan perniagaan dari rumah

Deviga Murugan meraih kira-kira RM2,000 hanya dua minggu selepas memulakan perniagaan masakan rumahnya.

Deviga Murugan bersyukur kerana mempunyai lebih banyak masa untuk dihabiskan dengan anaknya dan yakin perniagaannya akan bertambah maju.
PETALING JAYA:
Hilang pekerjaan hanya tiga hari sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula bulan lalu, Deviga Murugan bimbang dengan masa depan keluarganya – sehingga anaknya mencadangkan wanita berusia 36 tahun itu menggunakan bakat memasaknya untuk menceburi bidang perniagaan.

“Saya baru memulakan perniagaan untuk melihat jika ia boleh dilaksanakan, dan ia sangat baik! Orang ramai membeli makanan dan menyokong perniagaan saya,” katanya dengan gembira sambil memasak sayur untuk makan tengah hari anaknya.

Beliau terkejut dan menghargai pelanggan serta jiran yang mula menyebarkan berita mengenai masakan rumahnya, sehingga menyaksikan lebih ramai orang mula membeli makanan daripadanya.

Beberapa pelanggan yang mahu membantu Deviga dan keluarganya, mula mengiklankan menunya di kumpulan Facebook peribadi. Beberapa pelanggan setia sering memesan makan tengah hari atau malam mereka dengannya.

Suaminya yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan dengan Grab, turut membantu menghantar makanan dan membeli bahan mentah.

Deviga Murugan memasak dari dapur padat di rumahnya di Kuala Lumpur.

Ruang tamunya riuh-rendah apabila FMT bertandang baru-baru ini.

Dua anaknya yang masih kecil sibuk menghadiri kelas dalam talian, dengan suara guru mereka kedengaran daripada dua peranti berbeza.

Anak lelakinya yang berusia 11 tahun duduk di lantai ruang tamu dan menghadap sebuah meja kecil dengan matanya terpaku kepada telefon pintar, manakala anak perempuannya, 10, belajar menggunakan komputer bimbitnya di meja makan.

Anak sulung Deviga, 14, menyertai kelas dalam talian dari biliknya sendiri. Beliau berkata, tiga anaknya berada di bahagian berbeza dalam rumah untuk mendapatkan sambungan internet lebih baik.

“Di sebelah pagi, mereka akan menghadiri kelas dalam talian, jadi saya tidak mengganggu mereka. Apa sahaja yang saya perlu potong, kisar atau sediakan, saya buat pada malam sebelumnya, simpan dalam peti sejuk dan masak keesokannya.

“Saya hanya perlu menghabiskan tiga jam untuk memasak, kemudian suami saya akan membantu dalam pembungkusan dan penghantaran makanan. Anak-anak saya biasanya bantu membersihkan dapur selepas kelas mereka tamat.”

Ia jauh berbeza dengan bulan lalu, apabila beliau bersetuju dengan tawaran skim pemisahan sukarela daripada bekas majikan. Dengan peningkatan jumlah kes harian Covid-19, Deviga pasti PKP akan dilaksanakan.

Kebimbangannya menjadi kenyataan, apabila PKP diumumkan hanya tiga hari sebelum hari terakhir beliau bekerja sebagai pentadbir eksekutif.

Tetapi, beliau tidak boleh berpatah balik lagi kerana tiada lagi pekerjaan tetapi buat kali pertama dalam lapan tahun.

Deviga Murugan berterima kasih kepada suami dan anaknya yang turut membantu dalam pelbagai aspek perniagaannya.

Suaminya berpuas hati menjadi pemandu e-panggilan untuk Grab sejak 2018 kerana ia memberi sedikit kelonggaran ketika beliau cuba mencari pekerjaan tetap. Ia adalah satu pergelutan, yang diburukkan lagi dengan PKP penuh, apabila pendapatan hariannya sebanyak beberapa ratus ringgit merosot.

Deviga mula bimbang dengan kelangsungan hidup keluarganya. Dengan tiga anaknya yang masih bersekolah, beliau mahu memastikan mereka mendapat pendidikan yang diperlukan dan itu bermakna membeli peranti dan alat yang diperlukan mereka untuk belajar dengan baik, walaupun melalui kelas dalam talian.

Beliau mempertimbangkan untuk kembali bekerja dengan gaji rendah. “Tetapi, anak sulung beritahu saya berbakat dalam memasak dan menggalakkan saya memulakan perniagaan sendiri.”

Ternyata, perniagaan masakan rumah jauh lebih baik buat Deviga berbanding pekerjaan terdahulu kerana ia memberi kebebasan kepadanya dan boleh menghabiskan lebih banyak masa dengan anaknya – bonus besar selepas mempunyai pekerjaan tetap lapan tahun lalu.

Dengan pekerjaan terdahulu, beliau perlu bangun pada 5.30 pagi untuk menyiapkan anaknya ke sekolah sebelum ke tempat kerja. Selepas kerja, beliau perlu mengharungi kesesakan trafik untuk pulang ke rumah dan menyediakan makan malam buat keluarganya.

“Ia seperti tanpa henti. Kadang-kadang kami kerja lima hari seminggu, tetapi sebagai ibu yang bekerja, saya bekerja tujuh hari seminggu.

“Tetapi, keadaan lebih fleksibel sekarang dan saya dapat berehat. Ada lebih banyak kebebasan dan kurang tekanan. Dan sebagai ibu, masa bersama anak-anak saya sangat penting.”

Selepas mengira akaun bulanan keluarga, beliau mendapati dirinya meraih kira-kira RM2,000 hanya dua minggu berniaga. Walaupun masih kurang sedikit daripada perbelanjaan untuk keperluan mereka, beliau yakin perniagaannya akan bertambah maju.

“Saya rasa saya akan terus melakukan ini buat sementara. Pertengahan minggu lalu, saya sebenarnya sedikit keliru mengenai apa yang perlu dilakukan seterusnya. Saya telah memohon pekerjaan dengan PERKESO dan mereka kemudiannya menghantar mesej bertanyakan jika saya masih berminat.

Anak kedua Deviga membantu mereka menu dari semasa ke semasa menggunakan telefon pintarnya. (Gambar Deviga Murugan)

“Saya terfikir sama ada perlu bekerja atau terus melakukan perniagaan ini. Tetapi, buat masa ini, saya rasa saya akan teruskan dengan perniagaan memasak ini kerana anak-anak perlukan saya.”

Deviga berharap dapat membuka gerai di sebuah pusat makanan berhampiran untuk menjual makanannya di sana, dan keluarganya memberikan sokongan penuh.

“Anak sulung saya mahu belajar perniagaan selepas tamat persekolahan, jadi saya kata okey. Saya akan membuka gerai dan kemudian anda boleh mengubahnya menjadi restoran,” katanya sambil ketawa.

“Saya bernasib baik dan berterima kasih mempunyai anak serta suami saya, mereka banyak membantu.”

Mereka yang ingin menyokong Deviga dan keluarganya boleh menghubungi beliau di talian 012-6327432 untuk membuat pesanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.