Kelewatan projek KVDT2 jadikan sebahagian jaringan landasan tak selamat, kata kesatuan

Kelewatan projek KVDT2 jadikan sebahagian jaringan landasan tak selamat, kata kesatuan

Kesatuan itu berkata, di beberapa lokasi, kereta api tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana keadaan landasan.

PETALING JAYA:
Kelewatan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) menyebabkan sebahagian daripada jaringan landasan tidak selamat, kata Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd.

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, kenyataan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bahawa laluan landasan adalah selamat perlu dilihat dalam konteks penuh dan lebih luas.

Semalam, KTMB berkata, jaringan landasan adalah selamat walaupun projek KVDT2 – membabitkan dua laluan antara Salak Selatan dan Seremban, serta antara Kuala Lumpur Sentral dan Pelabuhan Klang – masih menjadi isu di mahkamah antara kontraktor dan Kementerian Pengangkutan.

Katanya, rangkaian itu dapat digunakan untuk operasi mengangkut penumpang dan muatan walaupun perkhidmatannya terbatas.

“Kenyataan KTMB itu selari dengan kesatuan. Mereka menekankan bagaimana kerja penyelenggaraan dilakukan untuk memastikan keselamatan jaringan landasan kereta api.

“Tetapi realitinya, di beberapa lokasi kereta api tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana keadaan landasan,” kata Razak.

Kata beliau, di lokasi dimaksudkan, kereta api hanya dapat bergerak dengan kelajuan 15km sejam berbanding 90km di landasan yang dalam keadaan baik.

“Bagi landasan yang dalam keadaan buruk, kelajuan 15km sejam boleh menyebabkan kegelinciran seperti yang kita lihat dalam dua kejadian baru-baru ini di Bangi dan Shah Alam,” katanya.

Razak berkata, landasan hanya boleh dianggap selamat jika kereta api dapat bergerak seperti biasa tanpa perlu diperlahankan.

“Berapa lama lagi kita perlu menjalankan kerja penyelenggaraan? Penyelesaiannya adalah meneruskan projek KVDT2 dan mengganti trek lama,” tambah beliau.

Katanya, kementerian tidak sepatutnya menangguhkan projek itu dan harus mengutamakan keselamatan rakyat.

“Kami tidak yakin kementerian melakukan yang terbaik apabila terus menangguhkan projek ini. Ini mengecewakan terutama kerana ia melibatkan keselamatan pekerja dan penumpang.

Perunding perancangan pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata, audit bebas terhadap rangkaian adalah “langkah yang tepat” bagi memastikan keselamatan perkhidmatan diutamakan.

Katanya, tanpa audit, sistem kereta api akan terus beroperasi bawah kapasiti dan menyebabkan tekanan yang tidak perlu terhadap infrastruktur landasan dan perkhidmatan yang mungkin menjejaskan keselamatan operasi.

Rosli berkata, bergerak dari operasi dua landasan kepada satu landasan seperti yang berlaku semasa projek pemulihan bermaka lebih banyak operasi kereta api perlu dilakukan secara manual, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya kecuaian manusia.

Katanya, kerajaan harus “menjadikan masalah ini sebagai keutamaan tertinggi”.

“Jemput pakar kereta api untuk mengaudit dan menyarankan penyelesaian, mungkin dengan beralih ke operasi landasan berkembar dengan kelajuan lebih rendah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.