Ibu tahanan mati dalam penjara berhak dapat ganti rugi kecuaian, kata mahkamah

Ibu tahanan mati dalam penjara berhak dapat ganti rugi kecuaian, kata mahkamah

Hakim membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan RM100,000 kepada Rahaya Salleh atas penahanan anaknya secara tidak sah dan RM50,000 bagi salah laku dalam jawatan awam.

Kamarulnizam Ismail enggan membayar denda RM800 dan memilih dipenjarakan selama dua minggu kerana mahu menggunakan wang itu untuk membaiki keretanya. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan ibu kepada seorang pekerja kilang yang meninggal dunia di Penjara Tapah tujuh tahun lalu mendapatkan ganti rugi atas tuntutan tanggungan dan kecuaian.

Bagaimanapun panel tiga hakim yang dipengerusikan Yaacob Md Sam memberi masa sehingga 30 Jun ini untuk pihak terbabit mengemukakan penghujahan bertulis berhubung jumlah ganti rugi yang akan ditawarkan.

Peguam M Visvanathan yang mewakili Rahaya Salleh berkata, beliau memaklumkan kepada panel itu bahawa anak guamnya meminta RM250,000 untuk tuntutan kecuaian.

“Kami akan memfailkan penghujahan untuk mendapatkan ganti rugi bagi tuntutan tanggungan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, panel itu akan menyampaikan keputusannya pada 7 Julai ini untuk kedua-dua tuntutan itu.

Dalam perbicaraan maya hari ini, hakim Ahmad Nasfy Yasin turut membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan RM100,000 kepada Rahaya atas penahanan tidak sah dan RM50,000 bagi salah laku dalam jawatan awam.

Nasfy, ketika menyampaikan keputusan lisan itu berkata, adalah salah untuk mahkamah perbicaraan menawarkan ganti rugi itu.

“Bagaimanapun plaintif (Rahaya) sudah membuktikan kecuaian kerana peraturan lokap polis dan penjara tidak dipatuhi.”

Panel yang turut dianggotai hakim M Gunalan menaikkan kos perbicaraan RM12,000 yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada RM30,000 kerana jumlah itu “jelas tidak mencukupi”. Ia turut mengekalkan RM2,000 untuk perbelanjaan pengebumian.

Pada Mac 2017, Rahaya memfailkan saman untuk serangan dan kecualian terhadap kerajaan selepas anaknya, Kamarulnizam Ismail, ditemui mati dalam penjara.

Lelaki berusia 39 tahun itu dikatakan meninggal dunia antara 8.30 malam 7 Mac dan 2.30 pagi keesokannya pada 2014.

Selain tuntutan tanggungan, Rahaya merayu mahkamah memberikan ganti rugi teruk kerana hak anaknya untuk hidup di bawah Perlembagaan Persekutuan dilanggar.

Peguam kerajaan yang mewakili polis dan Jabatan Penjara memohon rayuan itu ditolak terus kerana kecuaian tidak dapat dibuktikan.

Dua tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi, Anselm Charles Fernandis menolak tuntutan tanggungan dan ganti rugi teruk, walaupun beliau mendapati kematian itu disebabkan kecuaian dan serangan.

Pada 2014, Kamarulnizam didenda RM800 atau dipenjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret setelah dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Kecil.

Bapanya, Ismail Ahmad, pergi ke mahkamah Bukit Mertajam untuk membayar denda itu tetapi Kamarulnizam mahu dipenjarakan supaya wang itu dapat digunakan untuk membaiki keretanya.

Ibu bapanya yang bergantung kepada pendapatan Kamarulnizam untuk perbelanjaan harian mereka mengambil jenazahnya dari bilik mayat Hospital Tapah pada Mac 2014.

Kamarulnizam, yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah kilang gula di Pulau Pinang dikatakan dibayar RM2,500 sebulan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rahaya yang merupakan suri rumah berkata, Kamarulnizam memberi RM1,300 kepada keluarganya setiap bulan. Beliau berkata, anaknya ditahan polis pada 22 Feb 2014 bersama tiga yang lain.

Beliau mendakwa Kamarulnizam diserang tiga anggota polis ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam.

Selepas mahkamah membuat keputusan, Kamarulnizam dihantar ke Penjara Tapah di Perak untuk menjalani hukuman penjara pada 3 Mac.

Fernandis berkata, dua hari Kamarulnizam dalam lokap polis tidak sah kerana pegawai polis wajib bertindak dalam masa munasabah untuk menghantar individu didapati bersalah ke penjara.

“Semasa di penjara, dia diberikan ubat untuk cirit-birit selepas mengadu tidak sihat. Apabila tahu si mati tidak sihat, warden penjara sepatutnya mengawasi dia dan lebih berhati-hati terhadap tahanan di bawah jagaan mereka.”

Hakim bersetuju dengan penemuan ahli patologi dan hasil bedah siasat bahawa Kamarulnizam meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.