Vaksinasi Covid-19 untuk pelaut, pekerja sektor pelabuhan mulai Jumaat ini

Vaksinasi Covid-19 untuk pelaut, pekerja sektor pelabuhan mulai Jumaat ini

Sasaran program adalah para pelaut aktif yang berada di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Program vaksinasi adalah sebagai simbolik penghargaan kepada khidmat bakti pelaut bersempena sambutan Hari Pelaut Sedunia 2021.
SHAH ALAM:
Program vaksinasi Covid-19 khas untuk pelaut warga Malaysia dan pekerja sektor pelabuhan khususnya di sekitar Lembah Klang akan bermula Jumaat ini.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam kenyataan berkata, program tersebut merupakan inisiatif bersama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sebagai simbolik penghargaan kepada khidmat bakti pelaut bersempena sambutan Hari Pelaut Sedunia 2021.

Jabatan itu berkata, sasaran program adalah para pelaut aktif yang berada di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Katanya, program yang dijadualkan berlangsung selama enam minggu di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Serbaguna Kelab Sosial dan Rekreasi LPK (PPV Sektor Maritim Klang), Pelabuhan Klang itu adalah tertakluk kepada kuantiti vaksin dan kapasiti tenaga kerja yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Setakat ini JLM telah menerima senarai butiran pelaut daripada syarikat perkapalan tempatan melalui Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) khusus bagi program ini. Pelaut yang telah mendapat pengesahan serta janji temu amat disarankan hadir dan mematuhi SOP di PPV,” kata JLM.

“JLM dengan kolaborasi MOT dan JKJAV akan merangka pelaksanaan program khas vaksinasi pelaut susulan program ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.