Sarawak kuat kuasa perintah vaksinasi antirabies baharu

Sarawak kuat kuasa perintah vaksinasi antirabies baharu

Negeri itu belum berjaya memerangi penyakit anjing gila sejak wabak menular pada 2017.

rabies dog
Stephen Rundi Utom berkata pemilik anjing mesti memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sarawak menguatkuasakan perintah vaksinasi antirabies baharu selepas usaha memerangi penyakit anjing gila itu masih belum berjaya sepenuhnya, sejak wabak menular pada 2017.

Perintah itu turut menyatakan anjing tidak divaksin dan terdedah kepada rabies akan dibunuh.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Stephen Rundi Utom, yang menandatangani perintah itu hari ini di bawah Seksyen 40(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar (VPHO), berkata semua anjing di Sarawak kini diwajibkan menjalani vaksinasi antirabies dan menerima suntikan penggalak tahunan.

“Pemilik anjing mesti memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin. Kegagalan mematuhi perintah ini boleh dihukum denda sehingga RM2,500,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Kapit, Mukah, dan Bintulu telah diisytiharkan zon dijangkiti rabies susulan kes baharu dikesan.

Beliau berkata, Sarawak merekodkan 123 kes positif daripada 889 sampel haiwan tahun lalu, dengan Kuching mendahului sebanyak 79 kes, diikuti Bintulu (16), Samarahan (10), dan Serian (enam), manakala Sri Aman, Kapit, dan Mukah masing-masing empat kes.

Rundi berkata, antara 6 hingga 19 Jan, tiga kes positif rabies melibatkan haiwan peliharaan yang bebas berkeliaran dilaporkan di Kuching dan Samarahan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), bersama pasukan khas ‘Immune Belt Enforcement Team’ (Ibet) telah mempertingkatkan program vaksinasi antirabies di seluruh negeri.

“Orang ramai boleh mendapatkan vaksin antirabies anjing secara percuma di mana-mana Pejabat Veterinar kerajaan pada waktu pejabat atau semasa acara vaksinasi besar-besaran, yang akan diumumkan di Facebook rasmi DVS Sarawak,” katanya.

Klinik veterinar swasta juga menawarkan perkhidmatan vaksinasi dan penjagaan kesihatan untuk haiwan peliharaan.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri melaporkan 83 kes kumulatif dan 76 kematian manusia sejak Julai 2017, termasuk lapan kematian pada 2024.

Rundi turut mengingatkan pemilik anjing supaya mematuhi keperluan pelesenan dan pengenalan kerana denda akan dikenakan atas ketidakpatuhan, pada masa sama menggalakkan pensterilan haiwan peliharaan untuk mengelakkan kelahiran tidak diingini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.