Tolak mereka dalam Umno yang tentang titah Raja-Raja Melayu, kata Najib

Tolak mereka dalam Umno yang tentang titah Raja-Raja Melayu, kata Najib

Bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka yang tidak lagi berminat dengan perjuangan Umno tidak patut dicalonkan lagi dalam PRU mahupun pemilihan parti.

Umno ditubuhkan pada 1946 dengan tujuan menolak Malayan Union dan mempertahankan Raja-raja Melayu serta kebebasan bangsa dan tanah air, kata Najib Razak.
PETALING JAYA:
Tolak mereka dalam Umno yang membisu atau bersekongkol menentang perintah Raja-raja Melayu dan sistem berparlimen demi mempertahankan kedudukan sendiri, seru bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib berkata, Umno ditubuhkan pada 1946 dengan tujuan menentang Malayan Union dan mempertahankan Raja-raja Melayu serta kebebasan bangsa dan tanah air.

“Antara dua daripada enam tunjang dan tujuan utama Umno seperti termaktub dalam Fasal 3 perlembagaan Umno adalah mendukung dan mempertahankan Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen.

“Inilah asas dan tujuan Umno wujud,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau berkata, wajib bagi semua pemimpin dan ahli Umno untuk bersuara demi menjaga kepentingan rakyat dan sistem demokrasi berparlimen.

Katanya, jika keadaan negara tidak kritikal, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak akan menerima menghadap para pemimpin parti dan ketua agensi kerajaan, selain mengadakan persidangan khas Majlis Raja-raja untuk mengeluarkan dua kenyataan titah yang amat tegas.

Beliau berkata, mereka yang tidak lagi berminat dengan perjuangan Umno tidak patut dicalonkan dalam pilihan raya umum atau pemilihan parti akan datang.

“Sebab jika dicalon pun akan ditolak rakyat yang sedang menderita.

“Dan sekiranya mereka bertanding dalam pemilihan parti, semua ahli Umno wajib tolak.

Minggu lalu, Agong dilaporkan berkenan agar Parlimen bersidang kembali secepat mungkin.

Raja-raja Melayu turut berkata, tiada keperluan bagi negara terus berada dalam keadaan darurat selepas 1 Ogos. Mereka juga menyeru agar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung kembali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.