Kerani putih mata, rugi RM700,000 diperdaya pelaburan mata wang asing

Kerani putih mata, rugi RM700,000 diperdaya pelaburan mata wang asing

Mangsa pada mulanya meraih keuntungan sebelum mula mengalami kerugian sejak April lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa dipercayai mengetahui mengenai pelaburan saham mata wang asing tersebut sejak 2017.
SEREMBAN:
Seorang kerani pemasaran di sebuah syarikat swasta berputih mata selepas kerugian RM713,450 akibat diperdaya pelaburan mata wang asing palsu melalui satu aplikasi dalam kejadian di Kampung Paya, Port Dickson, 19 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 39 tahun itu dipercayai mengetahui mengenai pelaburan saham mata wang asing tersebut selepas diperkenalkan oleh kenalan lamanya sejak 2017.

Bagaimanapun beliau berkata, mangsa baharu sahaja menyertai pelaburan berkenaan pada tahun lepas.

“Mangsa telah memuat naik satu aplikasi untuk tujuan pelaburan ini dan semua urusan adalah melalui aplikasi dan laman sesawang tersebut.

“Mangsa dipercayai mula membuat pelaburan ini dalam nilai USD sejak Januari tahun lalu dan telah pun mendapat keuntungan beberapa kali,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun bermula April lepas, mangsa menyedari tiada sebarang keuntungan diperolehi dan kemudiannya membuat laporan polis kerana rasa diperdaya, katanya.

Katanya, dalam tempoh April hingga Jun tahun ini, wanita berkenaan membuat 45 kali transaksi ke dalam 21 akaun individu dan satu akaun sebuah syarikat.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dalam laman sosial atau aplikasi selain menyemak sama ada pelaburan itu diiktiraf atau tidak menerusi Bank Negara Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.