
Kuyinin Balansing yang berasal dari Kampung Kabatang Baru, Tulid, antara 78 orang divaksin sejurus menghadiri sesi janji temu penyakit tidak berjangkit di Klinik Kesihatan Sook.
Kehadiran warga emas itu menarik perhatian petugas PPV yang memuat naik gambarnya di Facebook dan mendapat reaksi positif warganet.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Ellron Angin dipetik Harian Metro sebagai berkata, pembukaan PPV itu antara langkah proaktif kerajaan bagi memastikan penduduk luar bandar divaksin secepat mungkin.
“Pembukaan PPV ini memudahkan penduduk dari kawasan pedalaman menerima vaksin, selain membolehkan masyarakat luar bandar mendapat maklumat sahih mengenai program vaksinasi.”
Pembukaan PPV di Dewan Masyarakat Sook itu memudahkan penerima vaksin dari sekitar daerah kecil terbabit dan Dewan Undangan Negeri Tulid yang bermakna mereka tidak perlu ke PPV di pekan Keningau sejauh kira-kira 40km.
Sook dan Tulid yang terletak dalam Parlimen Pensiangan antara kawasan pedalaman Sabah dengan ramai penduduknya tinggal di perkampungan terpencil dan masih menghadapi masalah perhubungan.
Media sebelum ini melaporkan Siti Liah Mamat yang berusia 120 tahun dari Kampung Dusun Raja di Kelantan adalah wanita paling tua menerima vaksin Covid-19.