
Dalam satu kenyataan bersama Pengerusi Majlis Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Elizabeth Wong dan Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, ia selaras dengan komitmen Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk membuka segera DUN Selangor.
“Merujuk kepada kenyataan YAB Menteri Besar Selangor bertarikh 17 Jun 2021, kami akan memberi komitmen sepenuhnya agar inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk membuka segera Dewan Undangan Negeri Selangor dapat dilaksanakan selaras dengan titah pandangan Baginda Tuanku dan Raja-raja Melayu.
“Sidang dewan ini amat penting baik di peringkat kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat agar setiap perbahasan berkenaan isu-isu rakyat mampu diperhalusi bersama dalam agenda kita memerangi pandemik Covid-19,” katanya.
Mereka juga menjunjung titah Agong dan Raja-raja Melayu agar Parlimen dapat bersidang segera bagi menjadi semak dan imbang kepada tatakelola pentadbiran kerajaan Malaysia.
“Keprihatinan Baginda Tuanku dan Raja-raja Melayu perlu diambil secara serius oleh semua agar isu rakyat, ekonomi dan Negara mampu ditangani dengan segera,” kata mereka.
Pada 17 Jun, Amirudin dilaporkan akan berbincang dengan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berhubung pembukaan sidang DUN secepat mungkin selaras dengan titah Agong dan Raja-raja Melayu.
Sehari kemudian Suee Lim berkata, pihaknya akan memohon perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengadakan pembukaan sidang DUN pada Ogos depan.