Rosli Azad Khan berkata, cadangan untuk membangunkan semula lapangan terbang itu tidak masuk akal daripada perspektif pengangkutan dan tindakan teragak-agak kerajaan untuk menolaknya menjadikannya lebih tidak masuk akal.
Bercakap kepada FMT, beliau berasa pelik bahawa cadangan pembangunan semula yang dilaporkan itu tidak datang daripada Kementerian Pengangkutan tetapi daripada sebuah entiti swasta.
Menurut laporan berita, syarikat pembinaan dan pembangunan WCT Holdings Bhd yang dikuasai oleh taikun Desmond Lim mengemukakan cadangan untuk mengendalikan lapangan terbang itu di bawah pajakan dengan kerajaan terus memiliki tanah dan lapangan terbang terbabit.
Bagaimanapun Kementerian Pengangkutan dilaporkan berkata, sebarang cadangan membangunkan semula lapangan terbang itu masih di peringkat awal dan akan ditentukan oleh Jemaah Menteri.
Rosli berkata, cadangan itu tidak patut dipertimbangkan dan beliau mempersoalkan keutamaan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, selain visi dan rancangannya untuk sektor pengangkutan.
“Terdapat isu pengangkutan lebih besar yang memerlukan perhatian kerajaan ketika ini. Isu menjejaskan teksi, bas, pengangkutan kereta api, keselamatan jalan raya, kesesakan pelabuhan dan sebagainya,” katanya.
“Pengangkutan adalah aset negara, sebarang cadangan mengenainya perlu mendapatkan nasihat dan terbuka kepada semua pihak untuk proses tender yang telus.”
Tambahnya, “kebanyakan rakyat bahkan tidak boleh melakukan perjalanan melalui udara dalam negara, apatah lagi di peringkat antarabangsa”.
Rosli berkata, Kementerian Pengangkutan patut menolak sebarang cadangan membangunkan semula lapangan terbang itu sehingga Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara disiapkan.
Terdahulu Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Ajit Johl turut membantah cadangan pembangunan semula lapangan terbang itu dengan memberi amaran bahawa ia boleh menjejaskan model subsidi silang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
MAHB mengendalikan rangkaian 39 lapangan terbang tetapi hanya sebilangan kecil yang menguntungkan. Operasi lapangan terbang yang tidak menguntungkan disubsidi oleh lapangan terbang menguntungkan dan ini termasuk lapangan terbang Subang.