Hanya rumah kosong di Kg Jalan Papan diroboh hari ini

Hanya rumah kosong di Kg Jalan Papan diroboh hari ini

Adun Pandamaran Leong Tuck Chee berkata persetujuan dicapai selepas rundingan dengan polis.

Jentera merobohkan rumah kosong di Kampung Jalan Papan di Pandamaran, Klang, hari ini.
KLANG:
Hanya rumah tidak berpenghuni di Kampung Jalan Papan akan dirobohkan hari ini bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula, kata Adun Pandamaran, Leong Tuck Chee.

Beliau berkata, persetujuan dicapai susulan perbincangan dengan Timbalan Ketua Polis Klang Selatan, Kamalariffin Aman Shah dan polis memberi jaminan kepada penduduk, rumah mereka tidak akan dirobohkan.

Terdahulu, penduduk merayu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari campur tangan menghentikan perobohan rumah mereka pada 26 dan 27 Okt lalu.

Persatuan Penduduk Jalan Papan Pandamaran dalam memorandumnya meminta Amirudin melaksanakan keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada 2018, yang menetapkan mereka penduduk perlu ditawarkan rumah baharu terlebih dahulu.

Penduduk terbabit turut mendakwa mereka diberikan notis pengusiran pada 21 Okt lalu, walaupun mendapat perintah penangguhan sementara pada 2021.

“Penduduk tidak membantah pembangunan semula, tetapi mereka berhak mendapat pampasan adil terlebih dahulu,” kata Leong di sini.

“Sebaik saja mereka menerima tanah atau bayaran, mereka sedia berpindah. Buat masa ini, mereka tidak terima apa-apa.”

Beliau menggesa pemaju menunggu keputusan mahkamah kerana 44 rumah masih terikat dengan proses mahkamah, di mana perbicaraan dijadualkan 18 Dis ini.

Katanya, tidak pasti sama ada pemaju akan meneruskan perobohan rumah lain esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.