
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada dua wanita dan dua lelaki berusia antara 40 hingga 71 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 9 hingga 10 malam tadi.
Berikutan itu, kesemua suspek hari ini dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
“Dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita telah direman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 Jun manakala dua lagi direman dua hari sehingga esok.
“Perintah reman dikeluarkan oleh majistret Shah Wira Abdul Halim selepas menerima permohoan daripada pegawai penyiasat SPRM pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut sumber, semua suspek ditahan kerana disyaki memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguatkuasaan sebagai balasan membantu syarikat terbabit mendapatkan kerja pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan berkaitan marin bermula 2018 hingga tahun ini.
Sumber juga mengesahkan SPRM tidak menolak kemungkinan ada individu lain termasuk penjawat awam akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes terbabit.