Insiden perancah besi runtuh: Seorang mangsa meninggal dunia

Insiden perancah besi runtuh: Seorang mangsa meninggal dunia

Mangsa berusia 43 tahun meninggal dunia 7 pagi tadi di Wad Kecemasan Hospital Sungai Buloh.

Semalam, dua pekerja cedera apabila perancah besi runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) berhampiran susur keluar Kota Damansara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Salah seorang pekerja warga Bangladesh yang cedera dalam kejadian perancah besi runtuh di lokasi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) semalam, dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.

Mangsa berusia 43 tahun meninggal dunia pada 7 pagi di Wad Kecemasan Hospital Sungai Buloh (HSB).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat trauma pelbagai dan kegagalan fungsi pelbagai organ akibat serangan jantung.

“Mangsa mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu akibat dihempap perancah besi yang runtuh dan keadaannya dilaporkan kritikal ketika dirawat di HSB, semalam,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, dua pekerja cedera apabila perancah besi runtuh di tapak pembinaan DASH berhampiran susur keluar Kota Damansara.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.13 malam dan seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa merupakan pekerja warga Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun. Semua mereka dilaporkan sedang melakukan kerja di bawah struktur tersebut.”

Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (PROLINTAS) memaklumkan insiden tersebut tidak membabitkan pengguna lebuh raya atau orang awam kerana ia berlaku dalam kawasan pembinaan yang bertutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.