
Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, walaupun usaha itu baik, namun pihaknya bimbang jika pekerja dikenakan caj bagi menampung kos pengurusan dan pentadbiran vaksinasi berkenaan, yang mana sepatutnya ditanggung majikan.
“Program cucuk vaksin di tempat kerja ini bagus sebab pekerja tidak perlu pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), cuma kos pengurusan itu perlulah ditanggung oleh majikan, sebab semua tahu vaksin ini diberi secara percuma oleh kerajaan,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, kos pengurusan sebanyak RM90 yang perlu ditanggung majikan yang menyertai program vaksinasi di kawasan kilang dan tapak binaan ketika ini memadai.
“Cuma kita minta supaya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang mengendalikan program vaksinasi mengeluarkan garis panduan dengan menyelaraskan senarai harga bagi memudahkan mana-mana sektor lain selepas ini jika dibenar melakukan suntikan di tempat kerja.
“Ia juga boleh mengelak pihak ambil kesempatan (menjadikan vaksinasi sebagai) perniagaan,” katanya.
Tambahnya, mana-mana pihak yang melanggar garis panduan perlu segera dihukum, termasuk ditutup operasi dan dikenakan kompaun.
Effendy berkata, pihak pekerja juga boleh menggunakan aplikasi “Working ForWorkers” (WFW) yang dilancarkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk membuat aduan jika majikan mengenakan caj terhadap mereka bagi vaksinasi.
“Melalui aplikasi itu, segala butiran pengadu dirahsiakan, jadi tak perlu bimbang,” katanya.
PIKAS bermula pada 16 Jun dengan vaksinasi dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenal pasti khusus bagi syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal.
Menerusi program ini, vaksin akan diberi secara percuma oleh kerajaan manakala kos lain perlu diurus pihak majikan.
Baru baru ini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut menawarkan vaksinasi untuk 40,000 pekerja dalam sektor pembinaan bagi mempercepat kadar vaksinasi barisan hadapan ekonomi.
Melalui program sukarela itu, majikan perlu membayar kos pengurusan dan pentadbiran pada harga subsidi sebanyak RM90 untuk dua dos lengkap bagi setiap seorang pekerja.
“Melalui program ini, pihak swasta perlu menyediakan dan membiayai sendiri pasukan petugas dan pegawai perubatan bertauliah serta PPV, manakala bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan,” kata Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.