Wanita hamil koma dipukul suami: Keluarga tak putus doa, usaha

Wanita hamil koma dipukul suami: Keluarga tak putus doa, usaha

Tempoh pemulihan Jahidah Nordin dijangka akan mengambil masa lebih lama, kata doktor.

Adik mangsa Fuziah Nordin, 40, berkata hukuman yang bakal dikenakan ke atas Rosmaini tidak setanding penderitaan ditanggung kakaknya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Doktor menganggarkan tempoh pemulihan Jahidah Nordin yang koma dan parah selepas disyaki dipukul suami akan mengambil masa lama, mungkin setahun atau lebih lagi.

Namun keluarganya tidak berputus asa sebaliknya, tekad menjaga Jahidah, 43, yang hamil 13 minggu sebaik mungkin, sehingga wanita itu pulih dan dapat berinteraksi dengan mereka seperti sebelumnya, lapor Harian Metro.

Ketika ini, adik Jahidah, Fuziah, 40, berkata, kakak sulungnya itu sudah membuka mata tetapi tidak memberikan sebarang reaksi, apatah lagi bercakap malah, tubuhnya juga tidak dapat digerakkan.

“Doktor sendiri beritahu dia boleh pulih tapi bukan dalam masa singkat kerana kerosakan pada otaknya serius iaitu tahap tiga dan ada juga kecederaan di belakang badan yang teruk dan berlubang, selain lebam pada anggota badan lain.

“Sedih melihat keadaannya begini dan dia hanya terbaring di katil. Kami masih tidak dapat berkomunikasi walaupun matanya sudah buka.

“Cuma kami rasa lega sedikit apabila doktor memberitahu keadaan anak yang dikandungnya dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Seremban, hari ini.

Fuziah mengakui keadaan Jahidah yang juga anak sulung daripada tujuh beradik itu tidak banyak berubah selepas mereka membawanya pulang ke rumah.

Dia juga melahirkan kekesalan atas kejadian berlaku kerana tidak menyangka Jahidah diperlakukan sedemikian rupa oleh suami, Rosmaini Abd Raof, 38, yang dikahwini tidak sampai setahun dan tiada perikemanusiaan.

“Angkara perbuatan dia (suspek), kakak saya jadi macam ini, kalau kecederaan akibat kemalangan jalan raya atau insiden yang tidak jangka, mungkin kita boleh terima,” katanya yang memberitahu hukuman yang bakal dikenakan ke atas Rosmaini tidak setanding penderitaan ditanggung kakaknya.

Fuziah berkata, tugas menjaga Jahidah digalas sejak tiga hari lalu selepas diserahkan adiknya, Fazariah, 38, yang menetap di Melaka.

“Kami sekeluarga akan terus berusaha dan berdoa dengan harapan dia dapat pulih seperti sedia kala” katanya yang memaklumkan turut melakukan fisioterapi ringan ke atas anggota badan Jahidah seperti disyorkan doktor dan memberi wanita itu minum susu khas dan bubur cair yang dimasukkan menerusi tiub.

Kisah Jahidah yang juga penjawat awam di Johor mendapat perhatian selepas koma dan mengambil kecederaan serius di kepala dan tengkorak disyaki akibat dipukul Rosmaini pada 4 Mei lalu.

Rosmaini dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam atas tuduhan itu mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.