
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, berkata operasi selama lima jam berakhir 10 malam itu menyaksikan ramai pemandu serta pekerja kilang gagal mengimbas kod QR MySejahtera ketika menaiki kenderaan awam itu untuk ke tempat kerja mahupun pulang ke rumah masing-masing.
Beliau berkata, operasi di lima daerah negeri itu turut mendapati masih ada pengusaha bas kilang yang tidak menyediakan alat pengimbas suhu walaupun ia merupakan syarat wajib ditetapkan kerajaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesalahan tidak imbas kod QR MySejahtera paling banyak dikesan iaitu sebanyak 12 kes dan diikuti dengan tidak menyediakan alat pengimbas suhu sebanyak lima kes.
“Rata-rata mereka memberi alasan terlupa serta tidak sempat mengimbas kod QR MySejahtera, namun kita percaya ia sudah menjadi kebiasaan tidak mematuhi SOP tersebut dalam kalangan mereka,” katanya menurut laporan MalaysiaGazette.
Dalam operasi itu, sebanyak 60 bas dan van pekerja kilang diperiksa, namun 13 daripadanya dikenakan tindakan mengikut Akta 342 atas kesalahan tidak mematuhi SOP ditetapkan.