Daftar, suntikan vaksin OKU masih rendah, kata menteri

Daftar, suntikan vaksin OKU masih rendah, kata menteri

Rina Harun berkata, hanya 10,229 golongan kurang upaya telah menerima dos pertama vaksin setakat ini.

Rina Harun (kanan) bersama wakil OKU, Ras Adiba Radzi. Menteri itu berkata, lebih banyak kolaborasi akan dirancang bersama NGO dan sektor swasta untuk meningkatkan pendaftaran vaksin golongan kurang upaya.
PETALING JAYA:
Jumlah pendaftaran vaksin untuk Orang Kurang Upaya (OKU) tetap pada peringkat rendah, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

Rina berkata, terdapat lebih 600,000 golongan itu didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun hanya 240,991 telah berdaftar untuk program vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera setakat ini.

“Daripada bilangan itu, hanya 10,229 (4.24%) telah menerima suntikan dos pertama,” katanya dalam sidang media hari ini selepas melawat pusat pemberian vaksinasi (PPV) pandu lalu pertama negara untuk golongan kurang upaya di Sime Darby Plantation, Ara Damansara yang mula beroperasi hari ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu menambah, lebih banyak kolaborasi akan dirancang bersama NGO dan sektor swasta untuk meningkatkan pendaftaran vaksin dalam kalangan OKU.

Selain itu katanya, kementerian turut bercadang memperluaskan inisiatif itu ke negeri lain.

“Kita hanya perlu bekerjasama dengan NGO dan sektor swasta di negeri untuk menjayakannya.”

Tambahnya, 80 suntikan akan diberikan sehari di PPV ini mulai hari ini sehingga Jumaat (18 Jun).

“Dari Isnin (21 Jun), kami menyasarkan pemberian 200 dos vaksin sehari untuk 100 kereta dengan anggaran 12 kereta sejam.

“Bagi setiap OKU, seorang penjaga juga akan menerima suntikan vaksin.

“Ini PPV pandu lalu pertama untuk OKU di negara ini. Saya yakin projek perintis ini akan berjaya dan kami akan menambah bilangan penerima serta kadar dos harian pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 16,000 OKU di Lembah Klang dijangka menerima suntikan di kemudahan PPV ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.