33 lokasi panas jenayah seludup migran dikenal pasti, kata APMM

33 lokasi panas jenayah seludup migran dikenal pasti, kata APMM

Lokasi terbabit bukan sahaja dijadikan kawasan kegiatan penyeludupan migran bahkan sebagai pintu penyeludupan dadah.

APMM berkata, Jabatan Imigresen dan Tentera Laut Diraja Malaysia turut bekerjasama memberi tumpuan dan sentiasa memantau lokasi panas penyeludupan migran. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenal pasti 33 lokasi panas kegiatan jenayah penyeludupan migran di lapan negeri di seluruh negara, kata Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim APMM Ahmad Faridi Ferdaus.

Ahmad Faridi berkata, lokasi terbabit bukan sahaja dijadikan kawasan kegiatan penyeludupan migran bahkan sebagai pintu penyeludupan dadah.

“Antara lokasi berkenaan melibatkan Sungai Kisap, Sungai Kilim dan Perairan Sungai Nyor Setali di Langkawi, Kedah dan Sungai Kuala Perlis dan Pantai Batu Putih-Sungai Padang di Perlis.

“Di Perak, titik panas itu dijumpai di Telok Muroh-Lekir dan Hutan Melintang. Di Selangor pula membabitkan Kuala Selangor-Kapar, Pulau Ketam, Sungai Lima, Kuala Langat dan Sepang,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata, di Negeri Sembilan, sejumlah enam titik panas dikenal pasti, iaitu Tanjung Selamat, Pantai Telok Pelandok, Pulau Bagan Pinang, Bagan Lalang, Port Dickson dan Sungai Lukut manakala di Melaka membabitkan Kampung Tengah, Pulau Konet, Tanjung Kling, Pantai (ALAM) dan Padang Temu-Umbai.

Ahmad Faridi berkata, titik panas di Johor termasuk Sungai Muar, Parit Jawa, Sarang Buaya, Pantai Perpat, Kukup dan Tanjung Adang manakala di Sabah membabitkan Perairan Felda Sahabat, Daratan Kertam Kinabatangan, Perairan Pulau Bodgaya dan Perairan Tambisan-Daratan Merabung-Pulau Pompom.

“Lokasi-lokasi ini antaranya menjadi tumpuan berikutan keadaan kawasan itu yang dirasakan selesa serta mudah bagi tekong bot yang membawa migran untuk mendarat. Mereka juga boleh membawa barangan lain seperti dadah dan sebagainya sekali gus mengundang kepada permasalahan jenayah lain,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen dan Tentera Laut Diraja Malaysia memberi tumpuan dan sentiasa memantau lokasi terbabit bagi mencegah kegiatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.