3 ahli kumpulan 08 dicekup, polis bongkar kegiatan haram lerai komponen kenderaan

3 ahli kumpulan 08 dicekup, polis bongkar kegiatan haram lerai komponen kenderaan

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh, berkata mereka ditahan di Jalan Ladang Telok Taman Indah, Telok Panglima Garang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh, berkata penahanan itu membongkar aktiviti meleraikan komponen kenderaan secara haram sebelum menjualnya semula. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan ahli kumpulan 08 ketika leka meleraikan komponen kenderaan di sebuah rumah di Jalan Ladang Telok Taman Indah, Telok Panglima Garang, dalam serbuan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata penahanan itu membongkarkan aktiviti meleraikan komponen kenderaan secara haram sebelum menjualnya semula.

“Jumaat lalu, sepasukan polis daripada JSJ IPD Kuala Langat menjalankan intipan selama 30 minit di rumah berkenaan dan mendapati halaman belakang dijadikan bengkel haram untuk aktiviti jenayah mereka.

“Ketika serbuan, polis mendapati tiga lelaki sedang meleraikan komponen enam buah kenderaan di kawasan halaman kediaman dengan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

“Ketiga-tiga suspek yang berumur 29 hingga 47 tahun itu ditangkap di lokasi berkenaan pada jam 12.30 tengah hari,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ahmad Ridhwan berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas lima rangka kereta, sebuah rangka kenderaan pacuan empat roda dan sebuah rangka motosikal.

“Siasatan mendapati, rangka kenderaan itu masing-masing membabitkan Proton Waja, Proton Iswara, Kia Spectra, Perodua Kancil, Yamaha 125Z dan 4WD jenis Tata.

“Hasil soal siasat, suspek memberitahu kenderaan dibeli harga pukal daripada orang tengah iaitu seorang lelaki dengan harga RM300 sehingga RM1,000 sebuah.

“Bagaimanapun, ketika serbuan dibuat suspek gagal menunjukkan bukti pembelian dan geran asal kenderaan itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati bengkel berkenaan beroperasi sejak dua minggu lalu.

“Kegiatan kumpulan itu adalah meleraikan komponen kenderaan untuk dijual kepada pihak ketiga manakala komponen yang tidak boleh digunakan atau rosak akan dijual di kedai besi buruk,” katanya.

Katanya, semakan rekod mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk mencuri, pecah rumah dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

“Semua suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil kerana gagal memberi keterangan, Seksyen 6 Akta Barang Lusuh serta dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.