Kalangan rakyat terkejut disenaraikan sebagai anggota Rela, walau tidak berdaftar

Kalangan rakyat terkejut disenaraikan sebagai anggota Rela, walau tidak berdaftar

Mereka mendapati nama mereka tersenarai sebagai anggota pasukan itu ketika menyemak nombor MyKad di pautan semakan ahli RELA yang tular di media sosial.

Kalangan rakyat mendapati nama mereka tersenarai sebagai anggota pasukan itu ketika menyemak nombor MyKad di pautan semakan ahli RELA yang tular di media sosial. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kalangan rakyat terkejut mendapati mereka ‘didaftarkan’ sebagai anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) tanpa pengetahuan mereka.

Mereka mendapati nama mereka tersenarai sebagai anggota pasukan itu ketika menyemak nombor MyKad di pautan semakan ahli RELA yang tular di media sosial.

Beberapa kakitangan Malay Mail dan FMT mendapati nama mereka disenaraikan sebagai ahli RELA apabila memasukkan butiran di laman itu.

Antara yang turut mendapati nama mereka tersenarai sebagai anggota RELA adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Beliau mendakwa namanya didaftar tanpa pengetahuannya sebagai anggota Rela pada 2011.

“Adakah pendaftaran automatik untuk semua rakyat? Sebab isteri saya pun ahli RELA kalau menurut laman semakan ahli RELA ini,” beliau berkata di Twitter.

FMT sedang menghubungi RELA dan Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan penjelasan.

Sementara itu, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lydia juga terkejut mendapati dirinya disenaraikan sebagai sukarelawati.

Beliau yang bekerja dalam bidang pemasaran menegaskan tidak pernah menjadi sukarela di mana-mana agensi kerajaan, seterusnya mahukan perkara itu dijelaskan termasuk bagaimana pendaftarannya boleh diluluskan.

Perkara itu turut dibangkitkan pengguna media sosial di Twitter yang mendapati mereka telah didaftarkan sebagai sukarelawan.

Pengguna bernama Oodie berkata: “Saya menyemak butiran dan rupanya saya pegawai Rela sejak 2011. Mana elaun saya? Di mana mahu mengambil uniform?”

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut mempertikaikan perkara itu di Twitternya dan mendesak siasatan dilakukan.

“Satu siasatan diperlukan untuk kenal pasti bagaimana data ini boleh dimasukkan.

“Siapa yang lakukan? Dari mana datangnya data? Adakah berlaku pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.