1,413 pesakit Covid-19 tahap 4, 5 meninggal dunia setakat semalam, kata Adham

1,413 pesakit Covid-19 tahap 4, 5 meninggal dunia setakat semalam, kata Adham

CPRC mengesahkan seramai 104,122 atau 16% daripada jumlah pesakit Covid-19 berada di tahap 4 dan 5 sudah menerima rawatan di hospital sejak Mac 2020.

Adham berkata, berdasarkan capaian data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis, jumlah bilangan pesakit Covid-19 sejak Mac 2020 bagi kategori empat dan lima adalah sebanyak 104,122. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seramai 1,413 pesakit Covid-19 berada pada tahap empat dan lima meninggal dunia dalam tempoh April hingga 13 Jun, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata, mereka adalah sebahagian daripada 59,895 pesakit tahap empat dan lima Covid-19 yang dikesan dalam tempoh berkenaan.

Katanya, berdasarkan capaian data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC), jumlah bilangan pesakit Covid-19 bagi kategori itu dari Mac 2020 sehingga 13 Jun 2021 adalah 104,122 (16%).

“Bilangan dan peratusan pesakit Covid-19 bagi kategori empat dan lima pada tiga bulan terakhir pula adalah seperti berikut: April sebanyak 6,751 daripada 63,213 kes keseluruhan; Mei sebanyak 30,287 daripada 163,644 kes dan sehingga 13 Jun iaitu 22,857 daripada 74,254 kes, sekali gus menjadikan jumlah pesakit kategori itu tiga bulan terakhir ialah 59,895 kes atau 19.9%.

“Bilangan dan peratus kes kematian pesakit Covid-19 bagi kategori empat dan lima pada tiga bulan terakhir ini adalah seperti berikut: April sebanyak 146 kes kematian, Mei sebanyak 705 kes dan 562 kes menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 1,413 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menerusi aplikasi Zoom di Putrajaya.

Dalam pada itu, Adham mengesahkan, seramai 628,110 individu menjalani ujian saringan dengan kadar positif Covid-19 adalah 6.63% atau 41,630 kes positif, pada minggu epid ke-23.

Beliau berkata tiga negeri yang mencatatkan kadar positiviti tertinggi ialah Labuan iaitu 1,344 kes positif (13.72%) daripada 9,799 ujian saringan dijalankan; diikuti Negeri Sembilan 4,035 kes positif atau 10.2% daripada 37,309 ujian saringan; dan Selangor iaitu 13,017 kes positif daripada 147,141 ujian saringan dijalankan.

Katanya, secara keseluruhannya sebanyak 41,630 kes positif Covid-19 dilaporkan pada minggu epid ke-23 iaitu penurunan 20% berbanding minggu epid ke-22 dengan purata kes aktif setiap hari ialah 81,461 kes iaitu susut 0.6% berbanding minggu sebelumnya.

Dr Adham berkata, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat 4.1% atau 454 daripada kes yang dirawat di ICU setakat 12 Jun lalu.

“Pengurangan kes ini dikesan bermula minggu epid ke-21 hingga ke-23. Kes kematian pula mencatatkan sebanyak 553 kematian, iaitu pengurangan sebanyak 13.7% berbanding minggu epid ke-21.

“KKM juga merekodkan sebanyak 905 kes purata yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkat 3.9% berbanding minggu sebelumnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.