Agong iktiraf kami, kenapa kerajaan enggan, tanya pemimpin Pejuang

Agong iktiraf kami, kenapa kerajaan enggan, tanya pemimpin Pejuang

Amiruddin Hamzah mendakwa tindakan Putrajaya melengah-lengahkan pendaftaran Pejuang bermotifkan politik dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Amiruddin Hamzah menggesa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin segera meluluskan pendaftaran Pejuang.
PETALING JAYA:
Pejuang mempersoalkan keengganan kerajaan meluluskan pendaftarannya sedangkan jemputan menghadap Yang di-Pertuan Agong kepada Dr Mahathir Mohamad menunjukkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengiktiraf bekas perdana menteri itu sebagai pemimpin sebuah parti politik.

Mahathir antara pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang yang menghadap Sultan Abdullah untuk membincangkan situasi Covid-19.

Sambil mengucapkan terima kasih atas perkenan Agong memanggil Mahathir, yang juga pengerusi Pejuang, untuk menghadap, Setiausaha Agung Penaja Pejuang, Amiruddin Hamzah mendakwa tindakan Putrajaya melengah-lengahkan pendaftaran Pejuang bermotifkan politik dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang menghairankan adalah pendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang sehingga kini tidak membuat sebarang keputusan untuk meluluskan pendaftaran Pejuang dan berusaha menggunakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk menghalang gerakan Pejuang sebagai sebuah parti politik yang sah.

“Pejuang menzahirkan kekesalan terhadap sikap pimpinan kerajaan PN yang cuba menghalang pilihan rakyat untuk menyertai parti politik dan bertanding dalam pilihan raya dalam sebuah sistem demokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, beliau menggesa Hamzah segera meluluskan pendaftaran Pejuang.

Disember tahun lalu, Pejuang, yang ditubuhkan pada Ogos 2020 mengheret JPPM ke mahkamah untuk membuat keputusan berhubung status pendaftarannya.

Bagaimanapun, belum sempat mahkamah mendengar permohonan semakan kehakiman Pejuang, JPPM menolak permohonan pendaftarannya pada awal Januari lalu.

Ia disusuli cubaan kedua Pejuang memaksa JPPM mendaftarkan parti itu melalui saluran undang-udang pada akhir Februari lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.