Masih ramai datang buat ujian saringan di kaunter baharu di Labuan

Masih ramai datang buat ujian saringan di kaunter baharu di Labuan

Kaunter Saringan Kontak Rapat (ANNEX 14) dipindahkan ke kompleks sukan di pinggir bandar itu untuk mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan awam.

Labuan, sebuah pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa, masih mempunyai empat kluster aktif, iaitu Victoria Merdeka, Simpang Sahari, Simpang Sungai dan Patau-Patau selain merekodkan 49 kematian. (Gambar Bernama)
LABUAN:
Ratusan orang didapati menjalani ujian Covid-19 RTK-Antigen dan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) selepas kaunter saringan kontak rapat (ANNEX 14) mula beroperasi di Kompleks Sukan Labuan semalam.

Sebelum ini kaunter berkenaan beroperasi di pekarangan Klinik Kesihatan Membedai berhampiran pusat bandar tetapi telah dipindahkan ke kompleks sukan di pinggir bandar untuk mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan awam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, pemindahan pusat itu bertepatan berikutan saringan secara besar-besaran dijalankan ke atas kontak rapat pesakit Covid-19 dari segenap pelosok pulau berkenaan.

“Kami membuat keputusan untuk berpindah kerana peningkatan jumlah orang yang menjalani ujian. Kami ingin mengelakkan orang ramai daripada berkumpul beramai-ramai di satu kawasan,” katanya.

Beliau berkata, kompleks sukan berkenaan yang pertama kali digunakan untuk memotong gelang tangan bagi pelepasan (Annex 17) pada 5 Jun akan beroperasi sebagai kaunter saringan mulai 8 pagi hingga 4 petang.

Ismuni berkata, kapasiti kaunter saringan perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan ribuan petugas dan kru dari sektor minyak dan gas dan perkapalan.

“Sejumlah kru perkapalan sedang menjalani kuarantin di hotel-hotel di pusat bandar dan kami begitu fokus untuk mengawal penularan wabak kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau juga berkata, kadar jangkitan Covid-19 di Labuan menunjukkan trend menurun dengan mencatatkan 106 kes pada Khamis berbanding 200 kes sebelumnya, menjadikan jumlah 5,458 kes.

Labuan, sebuah pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa, masih mempunyai empat kluster aktif Covid-19, iaitu Victoria Merdeka, Simpang Sahari, Simpang Sungai dan Patau-Patau serta merekodkan 49 kematian.

Kluster Layangan yang dicetuskan oleh varian Delta yang membimbangkan tidak mencatat kes baharu dalam tempoh dua minggu lepas dan kekal dengan 64 kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.