
Nurfazhan Mohd Rosli dari Sekolah Tinggi Muar yang memperoleh 5A berkata, dia cukup berpuas hati dengan keputusannya.
“Walaupun berdepan pelbagai kesukaran dengan pembelajaran dalam talian, saya cuba melakukan yang terbaik dan tidak menyesal,” katanya ketika dihubungi FMT.
Walaupun mendapat keputusan yang baik, Nurfazhan memutuskan tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya akan mengambil alih kedai runcit ibu saya di Pasar Awam Muar,” katanya, selain menambah bahawa ibu bapanya tidak membantah dan menyokong keputusannya dengan sepenuh hati.
Seorang pelajar lain, Muhammad Yuzwan Abdul Rashid dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang, yang lulus cemerlang berkata, dia terkejut dengan keputusan itu.
“Semua A! Saya menangis ketika melihat keputusan itu. Penantian itu suatu penyeksaan tetapi ia tidak sia-sia. Semua kerja keras saya telah berbayar.
“Kelas dalam talian memang tidak mudah terutama dengan semua ahli keluarga di rumah, saya sukar untuk menumpukan perhatian pada pelajaran,” katanya.
Ditanya mengenai rancangan masa depannya Yuzwan berkata, dia sedang mencari tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.
Idris Muzaffar Ariff dari SM Bestari Asia Pasifik, di Subang, yang memperoleh 10A berkata, dia sangat lega.
“Selepas SPM berakhir, tiada siapa yang tahu bila keputusan akan keluar dan itu sangat menakutkan. Saya juga sedikit kecewa kerana tidak berjaya mendapat semua A dalam 12 subjek yang saya ambil tetapi sangat bersyukur.
“Dua bulan setengah kami menunggu keputusan.
“Saya rasa saya mempunyai banyak masa dan sumber untuk belajar sebelum menduduki SPM. Namun setiap orang mempunyai pengalaman yang berbeza.
“Adakalanya saya rasa seperti tak larat nak bangun dari katil untuk menghadiri kelas. Akhirnya saya terbiasa dengan kelas dalam talian ini tetapi ia tidak begitu berkesan seperti kelas fizikal.”
Idris merancang untuk melanjutkan pengajian di peringkat A Level di Sunway College di sini.
Gred purata keputusan SPM bagi kumpulan pelajar tahun 2020 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin hari ini.
Beliau berkata, gred purata dicatatkan, iaitu 4.80 mata berbanding 4.86 mata pada 2019 menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.