Dorongan ibu, biasiswa universiti tetap haluan pelajar menuju kejayaan

Dorongan ibu, biasiswa universiti tetap haluan pelajar menuju kejayaan

Perjalanan Nur Ain Afieqah menuntut ilmu mungkin terbantut jika bukan kerana bantuan City University dan galakan daripada ibunya.

PETALING JAYA:
Ketika pilihan menjadi terhad buat Nur Ain Afieqah Ahmad Jafri, kegigihan ibunya dan biasiswa yang diterima daripada City University membantu menjamin bukan sahaja masa depan beliau, malah keluarganya juga.

Selepas tamat persekolahan di SMK Seremban 2 di Negeri Sembilan, mencari institusi pengajian tinggi di mana beliau boleh melanjutkan pengajian dan mampu dibiayai keluarganya menjadi satu cabaran.

“Ibu saya, yang membesarkan kami lima beradik sendirian, memastikan kami semua melanjutkan pengajian,” kata Nur Ain Afieqah.

Selepas masalah keluarga menyekat peluangnya untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, kehidupan beliau seolah-olah tergantung

“Namun ibu bertegas mahu saya melanjutkan pengajian secepat mungkin dan ketika itu saya menerima e-mel mengenai program biasiswa di City University. Selepas melakukan tinjauan, mereka bersetuju membenarkan saya melanjutkan pelajaran di City U,” katanya.

Nur Ain Afieqah memulakan pengajiannya dalam kursus asasi sains di universiti berkenaan pada 2014 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan.

Dengan bantuan biasiswa yang membiayai hampir sepenuhnya yuran asas sebanyak RM15,000, perbelanjaan utama perlu ditanggungnya sewaktu tahun pertama pengajian hanyalah makanan dan kos pengangkutan menaiki LRT ke kampus.

“Memori terindah saya ketika belajar adalah mengenai penyelia saya pada tahun akhir, Madam Adilla Makhtar. Beliau banyak membantu dari segi mengasah kemahiran berfikir saya. Semua pensyarah saya senang didekati dan bersikap menggalakkan,” katanya.

Nasihat Nur Ain Afieqah Ahmad Jafri kepada lepasan SPM adalah bersikap terbuka dalam menuntut sebanyak mana ilmu yang boleh.

Kini bertugas sebagai penyelaras di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) Nur Ain Afieqah memberitahu FMT, perjalanannya menuntut ilmu mungkin terbantut jika bukan kerana bantuan City University dan galakan daripada ibunya.

Beliau yang juga Felo Perdana berkata, pekerjaan dengan MOSTI memberi peluang kepadanya untuk berinteraksi dengan menteri dan melibatkan diri dalam proses pembuatan dasar.

Berkenaan keputusan SPM yang keluar hari ini, Nur Ain Afieqah mempunyai nasihat kepada lepasan sekolah yang tidak pasti tentang hala tuju mereka.

“Di mana saja anda berada, amalkan sikap terbuka untuk menuntut sebanyak mana ilmu yang boleh,” katanya.

Dengan kerjasama City University Malaysia, FMT menawarkan biasiswa bernilai lebih RM2.5 juta kepada pelajar Malaysia yang layak, terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan kurang berkemampuan.

Pelajar berusia bawah 25 tahun yang berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda boleh melawat laman web ini untuk memuat turun borang permohonan.

Program biasiswa City U-FMT merangkumi semua program sarjana muda City University dari kursus pra-universiti hingga ijazah dalam 28 bidang pengajian seperti perakaunan, sains kesihatan, reka bentuk, komunikasi, psikologi, seni bina, kejuruteraan, perhotelan dan teknologi maklumat.

Sebagai tambahan, semua pelajar yang mendaftar di City University bagi pengambilan Jun 2021 layak menerima laptop percuma dan elaun bulanan sebanyak RM300 sepanjang tahun pertama pengajian.

City University juga akan menganjurkan webinar setiap Sabtu pada 1.30 tengah hari yang akan memberi tumpuan kepada haluan bagi lepasan SPM serta biasiswa dan peluang kerjaya yang boleh mereka pertimbangkan.

Mereka yang berminat untuk menghadiri webinar ini boleh mendaftar di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.