
Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim, berkata inisiatif untuk peminjam PTPTN bawah Belanjawan 2026 itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar tersebut dan komitmen memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang inklusif.

“Langkah ini diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar dan memberi ruang kepada mereka untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian,” katanya dalam kenyataan.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 pelajar daripada keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA dengan peruntukan RM120 juta setahun.
Selain itu, bayaran balik PTPTN dikecualikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan menengah yang memperolehi ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama di IPTA, dengan peruntukan RM90 juta setahun yang akan memberi manfaat kepada sekitar 6,000 peminjam.
Norliza berkata, pengecualian bayaran balik PTPTN adalah sebagai penghargaan kepada pelajar cemerlang.
“Kerajaan juga terus menitikberatkan usaha melahirkan graduan berkualiti tinggi di Malaysia. Sehubungan itu, pelajar digalakkan untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian dan mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.
Beliau berkata, perincian lanjut berkenaan pelaksanaan inisiatif bawah Belanjawan 2026 akan diumumkan dalam masa terdekat.
Mengenai sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu dan bekerja di luar negara tetapi culas membuat bayaran balik, beliau berkata kerajaan menekankan kepentingan kelestarian dana PTPTN bagi memastikan generasi masa depan berpeluang menikmati kemudahan pembiayaan pendidikan tinggi.
“PTPTN merupakan kemudahan pinjaman yang perlu dilunaskan semula bagi menjamin kesinambungan dana kepada peminjam baharu. Oleh itu, sekatan perjalanan ke luar negara akan dilaksanakan secara bersasar kepada peminjam yang mempunyai tunggakan,” katanya.