Program vaksinasi bagi sektor ekonomi kritikal akan dimulakan dalam masa terdekat

Program vaksinasi bagi sektor ekonomi kritikal akan dimulakan dalam masa terdekat

Ia akan dilaksanakan menerusi fasa keempat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), menurut Khairy Jamaluddin.

Antara industri yang akan diberikan keutamaan adalah pembuatan, eksport, logistik, pembinaan kritikal, utiliti dan tenaga, serta pelancongan, kata Khairy Jamaluddin. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan memulakan proses vaksinasi bagi sektor ekonomi kritikal yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dalam masa terdekat, menerusi fasa keempat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menerusi aplikasi Zoom hari ini, menteri penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) membuat keputusan itu susulan penularan mendadak Covid-19 dalam sektor ekonomi terbabit sejak kebelakangan ini.

Antara industri yang akan diberikan keutamaan adalah pembuatan, eksport, logistik, pembinaan kritikal, utiliti dan tenaga, serta pelancongan, katanya.

Bagi melaksanakan inisiatif ini, CITF bekerjasama dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta agensi kerajaan lain.

Selain itu kata Khairy, anak syarikat Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) akan turut terlibat.

“Kita akan bekerjasama dengan ProtectHealth untuk mengurus vaksinasi kepada sektor (terbabit) bagi mempercepat pelaksanaannya,” kata Khairy.

“Sebagai permulaan, kita akan menggerakkan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak ke Kompleks Bersepadu Petroleum di Pengerang, Johor, bagi memberikan vaksin kepada lebih 1,000 pekerja di sana setiap hari mulai 16 Jun sebelum diperluas ke kawasan industri lain.

Berkenaan inisiatif PPV bergerak, Khairy berkata, kejayaannya di PPR Muhibah di Kuala Lumpur baru-baru ini mendorong CITF untuk memperluas penggunaannya ke seluruh negara dalam masa terdekat.

“CITF sedang merancang untuk meningkatkan jumlah ‘mobile truck’ yang akan dapat digerakkan ke kawasan tertentu seperti flat PPR dan kawasan tapak industri dengan tumpuan diberikan kepada negeri zon merah seperti Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Negara kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh bermula 1 Jun hingga 14 Jun, yang menyaksikan hanya sektor ekonomi kritikal dan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.