Kadar pengangguran pada April terendah sejak Oktober tahun lalu

Kadar pengangguran pada April terendah sejak Oktober tahun lalu

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, 'penganggur aktif' merangkumi lebih daripada 80% daripada bilangan penganggur.

Industri perkhidmatan mencatatkan peningkatan bilangan pekerja, kebanyakannya dalam perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, pendidikan, serta sektor kesihatan manusia dan kerja sosial.
PETALING JAYA:
Kadar pengangguran di negara ini turun kepada 4.6% pada April dengan bilangan penganggur dicatatkan seramai 742,700 orang, yang merupakan nilai terendah sejak Oktober tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, “penganggur aktif” merangkumi lebih daripada 80% daripada bilangan penganggur.

Kategori ini berkurangan sebanyak 1.3%, daripada 626,000 individu pada Mac kepada 618,700 pada April, menurut beliau.

“Daripada keseluruhan penganggur yang aktif, sebanyak 52.1% adalah penganggur yang menganggur kurang daripada tiga bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat peningkatan bulan ke bulan dalam bilangan mereka yang bekerja, dengan 22,700 individu menyertai tenaga kerja.

Pada April, 15.35 juta individu bekerja, berbanding 15.33 juta pada Mac.

Industri perkhidmatan mencatatkan peningkatan bilangan pekerja, kebanyakannya dalam perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, pendidikan, serta sektor kesihatan manusia dan kerja sosial.

Sektor pembuatan dan pembinaan turut menyaksikan peningkatan tenaga kerja, namun sektor pertanian serta perlombongan dan penggalian terus mengalami penurunan.

Mereka yang bekerja untuk orang lain merangkumi 77.9% golongan pekerja, meningkat sebanyak 17,200 orang bulan ke bulan, mencatatkan 11.96 juta orang (Mac 2021: 11.95 juta).

Golongan bekerja sendiri merekodkan pertambahan sebanyak 12,300 orang kepada 2.49 juta pada April (Mac 2021: 2.48 juta).

“Peningkatan penduduk yang bekerja sendiri ini adalah berikutan operasi berterusan perniagaan kecil pada bulan tersebut,” kata Uzir.

Sementara itu tambahnya, pekerja yang buat sementara waktu tidak bekerja kekal adalah dalam trend menurun dengan pengurangan sebanyak 5,000 orang kepada 116,000, berbanding 121,000 pada Mac.

Beliau menjangkakan dengan perintah sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan bulan ini, yang menyaksikan semua sektor ekonomi dan sosial ditutup sepenuhnya kecuali sektor perlu, kedudukan pasaran buruh sekali lagi akan berdepan situasi mencabar dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.