
James Nayagam dari Persatuan Kebajikan Suriana berkata, kurang kesedaran mengenai keseriusan masalah itu menyebabkan kesalahan tersebut sering dianggap sebagai kes sivil.
Katanya, pihak berkuasa jarang campur tangan kerana kes sedemikian dianggap sebagai masalah keluarga.
“Mereka fikir ia tidak berbaloi dengan usaha yang terlibat. Dalam 40 tahun pengalaman saya mengendalikan ratusan kes, tiada satu pun kes yang menyaksikan pihak berkuasa campur tangan dan masalah selesai,” katanya kepada FMT.

“Ia adalah masalah halimunan.”
FMT bercakap dengan seorang lelaki Belanda yang tidak dapat melihat anaknya selama berbulan-bulan selepas bercerai. Setahunya, mereka berada di sebuah tempat di Indonesia bersama-sama bekas isterinya.
Selepas bercerai pada 2019, mereka bergilir-gilir menjaga anak lelaki berusia 11 tahun dan anak perempuan berusia lapan tahun di bawah jagaan bersama semasa menetap di Kuala Lumpur.
Tetapi sekembalinya daripada lawatan kecemasan ke Belanda awal tahun ini, Adrian (bukan nama sebenar) dilarang menemui anaknya dan tidak dapat menghubungi mereka. Dua bulan kemudian, beliau diberitahu bekas isterinya sudah meninggalkan negara ini.
Beliau berkata, anaknya tidak ke sekolah lebih setahun sehingga bulan ini. Bekas isterinya sebelum ini bersetuju mereka berpindah ke Belanda dan memulakan penggal persekolahan baharu di sana pada November 2020.
“Minggu lalu, saya mendapati anak saya berada dalam talian dan menghubunginya di komputer melalui Google Hangouts. Malangnya, beliau tidak membalas atau menerima panggilan video saya.
“Bekas isteri saya memutuskan semua talian komunikasi. Tiada dialog dan saya tidak tahu masa depan anak-anak kami.”
Nayagam menyifatkan penculikan anak oleh ibu bapa “selalunya ialah satu bentuk balas dendam atau dendam terhadap pihak lain” dan “sangat traumatik bagi anak-anak”.
Di Malaysia, ia dilarang sehingga ke tahap tertentu oleh statut undang-undang keluarga, Akta Kanak-kanak dan Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, pegawai komunikasi Sisters in Islam, Aleza Othman berkata, ibu atau bapa yang menculik anak mereka di negara ini tidak menghadapi sebarang akibat di sisi undang-undang.
“Malangnya, kes penculikan anak oleh ibu bapa berlarutan dan tidak dapat diselesaikan. Di sinilah penguatkuasaan perintah mahkamah ke atas hak penjagaan anak sangat penting.
Aleza berkata, walaupun di bawah perintah kawalan pergerakan anti-pandemik, ada beberapa kes kanak-kakak dilarikan oleh ibu atau bapa tanpa persetujuan pasangan mereka. Sebanyak 9% daripada semua pertanyaan yang diterima SIS tahun lalu adalah berkaitan insiden penculikan kanak-kanak.
Didapati sesetengah anak hidup dalam ketakutan dengan ibu atau bapa yang menculik mereka. Ada yang mengalami tekanan dan menunjukkan simptom seperti menangis sehingga tidak dapat ditenangkan, sakit kepala, kencing malam dan jatuh sakit.
Malaysia menyertai Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, tetapi bukannya Konvensyen Hague mengenai Aspek Sivil Penculikan Kanak-kanak Antarabangsa, yang diiktiraf 82 negara.
“Ia mengecewakan, Malaysia belum menerima Konvensyen Hague. Dalam pelbagai aduan yang kami terima, pihak berkuasa tidak mempunyai kuasa mencukupi bagi mengembalikan kanak-kanak ke Malaysia.”
Nayagam mencadangkan talian bantuan atau kumpulan sokongan ditubuhkan supaya ibu bapa yang anaknya diculik mempunyai saluran untuk dirujuk.
Beliau berkata, mahkamah patut mempunyai pakar yang menasihati mereka mengenai keadaan emosi kanak-kanak untuk kes hak penjagaan.
“Ibu bapa boleh bercerai, tetapi mereka juga perlu mempertimbangkan apakah yang terbaik untuk anak.”
Mereka yang menghadapi masalah penculikan anak oleh ibu bapa boleh menghubungi pihak di bawah untuk pertanyaan atau bantuan:
- Telenisa Sisters in Islam: 012-8123424 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang, melalui WhatsApp dan panggilan telefon)
- James Nayagam: 012-3141100
- Jabatan Kebajikan Masyarakat: 03-80008000