
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata ordinan seumpama itu mungkin diperlukan memandangkan ada kempen yang dilakukan pihak tertentu untuk menolak vaksin Covid-19.
“Insya-Allah sekiranya boleh, ia akan dijadikan sebagai satu ordinan. Sekiranya mereka (golongan antivaksin) tidak mahu mengambil vaksin, itu adalah masalah mereka, tetapi yang menjadi masalah adalah mereka buat kempen untuk orang tidak ambil vaksin.
“Itu menjadi masalah kepada kita (kerajaan),” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan mengejut pematuhan prosedur operasi standard di sebuah pusat membeli-belah, di sini, hari ini.
Beliau berkata negara ini perlu mencapai imunisasi kelompok bagi membolehkan semua aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi semula seperti biasa.