Pemandu lori mati dalam tahanan polis

Pemandu lori mati dalam tahanan polis

Kematian itu yang ketiga dilaporkan dalam hanya 15 hari.

Suspek ditahan semalam berhubung kes kecurian tong gas, dan direman empat hari untuk membantu siasatan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu lori meninggal dunia dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang hari ini, menjadikannya kes ketiga seumpama itu dilaporkan dalam tempoh 15 hari.

Polis berkata, Umar Faruq Abdullah, 36, maut selepas terjun dari aras dua balai berkenaan ketika ditahan untuk soal siasat.

Laporan awal menyatakan kematiannya “akibat kecederaan teruk pada muka.”

Dia ditahan semalam berhubung kes curi tong gas dan direman empat hari bagi membantu siasatan.

Kejadian terbaru itu menyusuli kematian pengawal keselamatan, S Sivabalan di Balai Polis Gombak pada 20 Mei lalu.

Seminggu kemudian, pada 27 Mei, Surendran Shanker dilaporkan mati di Hospital Kluang selepas ditahan di penjara Simpang Renggam, Johor.

Menurut laporan awal polis, Umar yang tangannya digari di belakang badan, dibawa turun dari aras tiga bangunan itu ke tingkat pertama selepas percakapannya selesai dirakam.

Bagaimanapun, ketika berada di aras dua dia bergelut dengan seorang anggota polis sebelum terjun dari tingkap di kawasan tangga. Laporan itu turut mengatakan Umar mempunyai empat rekod lampau.

Peguam M Manoharan yang mewakili keluarga Umar menggesa polis terlibat didakwa kerana menyebabkan kematian atau kecuaian jenayah.

Katanya, Umar yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, ditahan di rumahnya di Kuala Selangor, semalam.

Isterinya Humairah Abdullah, diminta membawa makanan untuknya di IPD Klang Selatan pagi tadi tetapi tidak dapat menemuinya.

Manoharan berkata, Humairah yang masih menunggu untuk menemui suaminya pada waktu petang, kemudian ambulans datang untuk mengambil pesakit sebelum mendapat tahu itu adalah suaminya.

Bedah siasat Umar akan dilakukan pagi esok.

Seorang pegawai polis di IPD Klang Selatan memberitahu FMT, Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed akan memberi butiran lanjut berhubung kematian Umar pada sidang media esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.