
Beliau berkata, kejayaan dalam operasi dijalankan sekitar bandar raya itu adalah hasil perkongsian maklumat Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor.
“Dalam sembilan serbuan dilancarkan jam 1.20 pagi semalam sekitar Johor Bahru, sembilan suspek membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan selain seorang lelaki warga Indonesia berusia 26 hingga 46 tahun ditahan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Ayob berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan dadah dalam alat pemadam api yang diubah suai sebelum diseludup dengan lori ais ke Singapura.
Katanya, sindiket ini sudah menjalankan operasi mereka kira-kira dalam tempoh tiga bulan sebelum terbongkar.
“Dengan tertangkapnya ahli sindiket ini, polis merampas 7.12kg ganja, 4.52kg syabu dan 3.11kg heroin yang bernilai RM215,283.
“Polis turut menyita lapan kereta pelbagai jenis bernilai RM172,000, wang tunai RM1,200 dan pelbagai barang kemas bernilai RM11,693,” kata beliau.
Tambah beliau, saringan mendapati seorang suspek positif dadah manakala tiga lagi mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah.
“Semua suspek direman seminggu bermula hari ini (31 Mei) sehingga 6 Jun depan manakala siasatan dibuat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.