Sekarang bukan masa ‘hukum’ pendatang tanpa dokumen, kata Badan Peguam

Sekarang bukan masa ‘hukum’ pendatang tanpa dokumen, kata Badan Peguam

Presidennya AG Kalidas berkata, kerajaan mesti menunjukkan belas kasihan terhadap pendatang pada waktu ini.

AG Kalidas berkata, kerajaan sepatutnya lebih menyalurkan tenaga dan sumber untuk mempercepatkan proses vaksinasi.
PETALING JAYA:
Badan Peguam menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan menahan pendatang yang tidak mempunyai dokumen ketika ‘lockdown’ berkuat kuasa, dan menegaskan sekarang bukan masanya untuk menghukum golongan itu.

Presidennya AG Kalidas berkata, sebaliknya Putrajaya sepatutnya menyalurkan sumber dan tenaga untuk mempercepatkan proses vaksinasi, seterusnya mencapai imuniti kelompok.

Katanya dalam kenyataan, ini juga perlu dilakukan secara kolektif dan dengan belas kasihan tanpa mengira kewarganegaraan mereka yang terlibat.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin sebelum ini berkata, Jabatan Imigresen akan menjalankan operasi untuk menahan pendatang tanpa dokumen ketika tempoh dua minggu ‘lockdown’ ini.

Kalidas berkata, kenyataan Hamzah itu bertentangan dengan pendirian menteri penyelaras vaksin, Khairy Jamaluddin yang memberi jaminan golongan itu tidak akan ditahan jika tampil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

AG Kalidas.

“Kami bimbang pendatang akan mengelak pihak berkuasa dan enggan mendapat rawatan perubatan atau divaksin kerana takut ditangkap jika pihak berkuasa mula mengambil tindakan terhadap golongan itu.

“Badan Peguam menggesa kerajaan menunjukkan empati dan belas kasihan, serta membenarkan semua pendatang, tanpa mengira status imigresen mereka, mendapat akses untuk ujian, rawatan serta vaksinasi Covid-19 tanpa dibelenggu kebimbangan ditangkap atau ditahan,” katanya.

Khairy dilaporkan berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.