
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Dimin Awang berkata, semua yang ditahan berusia 24 hingga 66 tahun dan sindiket itu dipercayai beroperasi tanpa lesen serta menjalankan kegiatan lebih setahun.
Kata beliau, dengan tumpasnya sindiket berkenaan pihaknya percaya dapat melumpuhkan kegiatan yang dijalankan di sekitar Simpang Renggam dan Pontian membabitkan nilai rampasan lebih RM3.5 juta.
“Dalam serbuan 4.30 pagi semalam, polis menahan tiga lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 24 hingga 44 tahun, empat lelaki warga China dan seorang lelaki warga Bangladesh berumur dalam lingkungan 30 hingga 66 tahun di Jalan PTD 1314 Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam,” katanya dalam satu kenyataan.
Dimin berkata, antara barang dirampas adalah enam guni putih berisi kepingan tembaga campuran, 24 pallet berisi kepingan tembaga campuran, 41 guni putih berisi tembaga campuran dan 13 jongkong tembaga dengan anggaran berat setiap jongkong 450 kilogram.
Katanya, turut dirampas tiga mesin generator, tiga mesin relau, enam mesin penyedut angin, dua mesin penyedut air dan sebuah mesin kimpal.
“Ada barangan yang dirampas memiliki invois, ada juga yang tiada dan semua pemilikan barangan, termasuk kabel dan kepingan tembaga diragui pemilikannya,” tambah beliau.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan Ianjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 6 Akta Barang Lusuh (ABL) dan Sek 6(1) Akta Imigresen.