Menjawab kritikan bekas menteri, Rafidah Aziz mengenai rasional pembukaan PPV mega, beliau berkata statistik menunjukkan pemberian vaksin di pusat itu masih tertinggi berbanding PPV berskala kecil.
Katanya, PPV mega mampu memberikan suntikan kepada seramai 8,000 hingga 10,000 orang setiap hari, dan ia penting dalam usaha negara mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
Ketika ini, kadar pemberian vaksin di seluruh negara adalah 100,000 sehari.
Bagaimanapun, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam pematuhan SOP membabitkan pusat vaksin.
“Kita setiap masa mematuhi SOP sama ada PPV mega atau kecil, memang ada beberapa kejadian di mana pusat mega dibanjiri orang ramai dan saya sudah arahkan supaya SOP dipertingkatkan serta mengambil kira kawalan kesihatan.
“Saya memahami kebimbangan disuarakan Rafidah tetapi kita perlu pastikan masih ada penggunaan PPV mega kerana jumlah suntikan di situ,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba mengenai perkembangan PICK secara maya hari ini.
Semalam, Rafidah berkata PPV mega seharusnya terletak di peringkat daerah dengan memanfaatkan dewan serbaguna setempat.
Langkah itu, katanya dapat mencegah kemungkinan wujud “kluster pusat vaksinasi Covid-19” yang berpunca daripada kesesakan orang ramai, dengan ramai yang beratur berjam-jam sebelum divaksin.
Sementara itu, Khairy berkata, program vaksinasi pekerja asing akan dilaksanakan menerusi Pogram Vaksinasi Industri yang akan diumumkan lebih lanjut minggu depan.
“Kita perlu beri vaksin kepada mereka yang terbabit dalam industri yang tidak boleh ditutup ketika ‘lockdown’ atau tidak boleh bekerja dari rumah. Kita akan berikan secepat mungkin vaksin kepada rakyat Malaysia termasuk warga asing,” katanya.
Sementara itu, Adham berkata, KKM akan menggunakan RTK-Antigen bagi mempercepatkan proses mengesan kes positif Covid-19 dalam kalangan komuniti supaya pencegahan penularan jangkitan dapat dilakukan dengan cepat.
Bagaimanapun, ujian kit pantas itu hanya tertakluk kepada individu yang tinggal di kawasan disahkan mempunyai kes jangkitan melebihi 10% daripada populasi.
“Mana-mana individu yang dikenalpasti positif, mereka akan terus diberi surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan dipakaikan gelang pengawasan.
“Sekiranya individu berkeadaan mendapati gejala bertambah teruk, mereka dinasihatkan untuk segera ke klinik kesihatan berdekatan,” katanya.