
Peguam keluarga berkenaan, Jazzmine Khoo, dalam kenyataan berkata ganti itu merangkumi perbelanjaan bagi perubatan; ganti rugi fizikal; tekanan mental dan emosi; trauma; kehilangan pendapatan; ganti rugi khas dan am; serta kecuaian bagi mangsa, Wong Chee Foong, 52.
Khoo berkata Wong, seorang chef di sebuah hotel dan bapa kepada empat orang anak berusia antara 15 hingga 3 tahun, sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan belum sedar.
“Beliau mengalami kecederaan serius di kepala, muka, dan tulang belakang dan sekarang sedang menjalani beberapa pembedahan dan rawatan. Beliau masih di ICU,” katanya.
Mangsa juga satu-satunya pencari nafkah bagi keluarganya, menurut kenyataan itu.
Pihak keluarga ambil maklum kenyataan media oleh pihak Prasarana tentang bayaran RM1,000 untuk setiap mangsa, sokongan perubatan dalam bentuk kewangan, dan kehilangan pendapatan.
“Pihak keluarga juga menyatakan RM1,000 bukan jumlah pampasan yang wajar bagi mangsa kerana apa yang dialaminya begitu teruk,” tambahnya.
Khoo berkata keluarga berharap Prasarana akan menjawab surat mereka dan akan mencadangkan penyelesaian yang lebih wajar dalam masa terdekat.
Sebanyak 213 penumpang cedera dalam kemalangan pada Isnin lepas, dalam kejadian yang menyaksikan sebuah tren tanpa penumpang bertembung dengan tren yang mereka naiki dalam terowong antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.