
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah, berkata polis mengesan mereka yang berumur antara 34 dan 45 tahun itu menyampaikan sumbangan kepada rakan yang sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
“Hasil soal siasat berpandukan gambar yang tular dalam Facebook ini, didapati ketiga-tiga mereka ini tidak mematuhi SOP PKP dan telah dikeluarkan tindakan kompaun.
“Polis mengesan penama Facebook tersebut pada 9.10 malam dan penama ini mengaku telah pergi bersama dua orang lagi rakannya ke rumah rakan yang memakai ‘gelang pink’ ini di Kampung Pulau Tengah, Sungai Petani, dan ketiga-tiga jururawat ini hadir di balai polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adzli berkata, kompaun dikeluarkan terhadap jururawat itu mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 (Aktiviti Terlarang Nombor 1).
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai sentiasa mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam apa jua aktiviti sekali pun termasuk untuk tujuan kebaikan.