Persatuan IKS jangka kesan perintah sekatan lebih buruk berbanding tahun lepas

Persatuan IKS jangka kesan perintah sekatan lebih buruk berbanding tahun lepas

Bantuan diperlukan segera bagi menjamin kelangsungan syarikat dan kebajikan kaki tangan mereka.

Dasar kerajaan mesti digubal bagi membantu kelangsungan perniagaan, kata Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana.
PETALING JAYA:
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Sementa) percaya kesan pelaksanaan perintah sekatan menyeluruh akan datang lebih drastik berbanding perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac tahun lepas, terutama dalam kalangan perniagaan bukan perlu.

Mereka berkata, bantuan diperlukan segera bagi menjamin kelangsungan syarikat dan kebajikan kaki tangan mereka.

“Walaupun Sementa sedar tentang kewajaran perintah sekatan, namun kami amat bimbang akan kesan ekonomi ke atas perniagaan IKS dan kaki tangan mereka,” kata persatuan itu dalam kenyataan.

Ia berkata, pelaksanaan segera program subsidi upah minimum RM1,000 untuk setiap pekerja yang mudah diakses oleh syarikat sangat kritikal.

“Terdapat aduan bahawa tidak semua syarikat menerima subsidi sepanjang tempoh PKP 1.0 sebelum ini,” katanya.

Sementa juga mahu moratorium pinjaman tanpa faedah diberikan sehingga akhir tahun ini, penangguhan sumbangan statutori hingga Oktober dan diskaun utiliti sebanyak 30%.

Selain insentif kewangan, persatuan itu berkata, dasar kerajaan harus digubal bagi menjamin kelangsungan perniagaan.

“Syarikat pembuatan dengan pesanan eksport harus dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50% walaupun sekiranya ia tidak termasuk dalam kategori “perlu”.

“Kerajaan harus menyedari bahawa pesanan kontrak perlu dipenuhi bagi menghindari kerugian dan penalti.”

Samenta berkata, perniagaan yang disenaraikan bukan perlu harus dibenarkan beroperasi jika ia menyokong perniagaan lain dalam kategori perlu atau berada dalam rantaian logistik dan perbekalannya.

Kerajaan juga harus menawarkan perkhidmatan saringan dan ujian percuma kepada semua IKS dan menimbangkan untuk mewajibkan vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

“Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2020 hendaklah dilanjutkan melepasi Jun 2021 dengan skop bantuan diperluaskan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan lain yang berkaitan.”

Dalam pada itu, presiden Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Marimuthu Nadason menggesa kerajaan memastikan kategori rumah tangga B40 dan M40 mendapat bantuan RM3,000 sebulan untuk tempoh enam bulan ke hadapan.

“Pada masa sama, kerajaan harus menggantung gaji semua Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen,” katanya.

Marimuthu berkata, cukai ke atas jualan semua hartanah hendaklah dikecualikan dan prosiding kebangkrapan ditangguhkan.

Kumpulan perniagaan lain juga membuat cadangan sama selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan perintah sekatan bermula 1 hingga 14 Jun ini, Jumaat lepas.

Semalam Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia menggesa Putrajaya mempercepatkan perbelanjaan peruntukan Belanjawan untuk projek kecil dan sederhana dengan berkata, ia menyokong permintaan domestik.

Ia juga mencadangkan pemberian tunai harian atau mingguan sehingga RM600 kepada operator teksi, pemandu e-panggilan dan penjaja, selain melanjutkan program subsidi upah kerajaan.

Persekutuan Majikan Malaysia menggesa pelaksanaan semula moratorium pinjaman automatik yang diperkenalkan semasa PKP pertama pada Mac 2020 dengan berkata, SOP dan kapasiti perniagaan yang dibenar beroperasi hendaklah dijelaskan sebelum perintah sekatan bermula.

Seperti Samenta, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malasia (FMBA) menggesa pelaksanaan semula moratorium pinjaman tanpa faedah selama tujuh bulan sehingga 31 Disember.

“Ia perlu merangkumi syarikat kredit dan pajakan, yang tidak disenaraikan ketika PKR 1.0,” kata kumpulan itu, selain menambah bahawa kerajaan juga perlu memberi bantuan kewangan, subsidi upah, pengecualian statutori dan subsidi utiliti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.