Hanya 2 dari rumah sama dalam sebuah kereta, jarak 10km

Hanya 2 dari rumah sama dalam sebuah kereta, jarak 10km

Orang ramai hanya dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan harian dan tujuan penjagaan kesihatan.

Pengecualian dua orang menaiki sebuah kenderaan dalam jarak 10km hanya untuk kecemasan perubatan.
PETALING JAYA:
Hanya dua orang dibenarkan keluar rumah dan menaiki kenderaan sama untuk membeli barang keperluan harian dalam jarak 10km sepanjang tempoh “total lockdown”.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian kepada kapasiti maksimum dan jarak 10km itu hanya untuk kecemasan perubatan.

Selain membeli barang keperluan harian dan pergi bekerja, orang ramai dibenarkan keluar rumah untuk membeli bekalan ubat dan tujuan penjagaan kesihatan.

“Maksimum tiga orang, termasuk pesakit dibenarkan keluar mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan dalam radius tidak lebih 10km dari rumah atau ke tempat paling hampir dengan rumah,” katanya dalam sidang media.

Walaupun tiada perintah berkurung, Ismail menasihatkan orang ramai tidak keluar rumah selepas 8 malam memandangkan semua perniagaan ditutup ketika itu.

Bagi teksi dan e-hailing, katanya, hanya dua orang dibenarkan, termasuk pemandu, dengan penumpang wajib duduk di tempat duduk belakang.

Beliau berkata, kapasiti kehadiran bagi anggota perkhidmatan awam terhad kepada 20% bagi tugasan perlu, tidak termasuk petugas barisan hadapan, anggota keselamatan dan pertahanan, serta 100% bekerja dari rumah bagi bukan perkhidmatan perlu.

Ismail berkata, orang ramai dibenarkan berjoging atau melakukan senaman di kawasan terbuka dari 7 pagi hingga 8 malam, selagi dapat mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2m.

Katanya, hanya 12 ahli jawatankuasa masjid atau surau dibenarkan menunaikan solat. Semua aktiviti lain dilarang.

Ini juga terpakai kepada tempat ibadat bukan Islam, dengan hanya ahli jawatankuasa dibenarkan.

Upacara akad nikah dibenarkan di Jabatan Agama Islam saja, dengan jumlah kehadiran ditentukan pihak berkuasa agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.