Prasarana mohon maaf, mahu fokus bantu mangsa nahas LRT

Prasarana mohon maaf, mahu fokus bantu mangsa nahas LRT

Syarikat pengendali pengangkutan awam itu turut memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Norlia Noah.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Norlia Noah meminta 83 lagi penumpang yang tidak berjaya dikesan menghubungi Prasarana supaya bantuan dapat diselaraskan buat mereka. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah memohon maaf atas kelemahannya menangani kejadian kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) Isnin lalu, dan memberi jaminan akan memberi sokongan serta bantuan kepada penumpang yang terjejas dan keluarga mereka.

“Saya memohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini,” kata Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Norlia Noah, seperti dilaporkan Bernama.

“Fokus utama Prasarana pada waktu ini adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit serta keluarga mereka.

”Prasarana turut memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di samping berhubung rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Norlia Noah.

Sementara itu, Prasarana meminta penumpang yang terlibat dalam kejadian berkenaan supaya menghubungi pihaknya, jika masih belum berbuat demikian, supaya bantuan dapat diselaraskan buat mereka.

Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata, sehingga 8 pagi ini, masih ada 83 penumpang yang tidak berjaya dikesan, dan mereka diminta menghubungi saluran khas 014-7371330 atau e-mel [email protected].

“Prasarana akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada para penumpang yang terlibat dalam insiden itu.

“Jumlah bayaran dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran penumpang dapat dilengkapi,” menurut kenyataan itu.

Menurut Prasarana, daripada 130 penumpang yang berjaya dikesan, 12 adalah warga Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh serta Timur Tengah, dan pihak kedutaan negara-negara berkenaan telah pun dihubungi.

Sementara itu, daripada 67 individu yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, 62 telah dibenarkan keluar, lima masih di hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Tiga yang lain ditempatkan di wad biasa, dan dijangka dibenarkan discaj dalam tempoh dua hingga tujuh hari.

Dalam kejadian 8.33 malam itu, sebuah tren yang tidak membawa penumpang bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang di dalam terowong di Laluan Kelana Jaya, antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.