MAQIS lupus burung dari Mali dikesan positif selesema burung

MAQIS lupus burung dari Mali dikesan positif selesema burung

Burung pelbagai jenis yang diimport dari Mali itu didapati positif Avian Influenza (selesema burung).

Jenis burung yang dilupuskan adalah Green Turaco (Tauraco Persa), Violet turaco (Musophaga Violacea), Senegal Parrot (Piocephalus Senegalus), Rose Ring Parakeet (Psittacula Krameri) dan Singing Finch (Serinus Mkzambicus). (Gambar MAQIS)
SEPANG:
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) melupuskan kira-kira 330 ekor burung pelbagai jenis yang diimport dari Mali selepas didapati positif Avian Influenza (selesema burung).

MAQIS dalam kenyataan berkata jenis burung yang dilupuskan adalah Green Turaco (Tauraco Persa), Violet turaco (Musophaga Violacea), Senegal Parrot (Piocephalus Senegalus), Rose Ring Parakeet (Psittacula Krameri) dan Singing Finch (Serinus Mkzambicus).

Menurutnya beberapa sampel daripada burung diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar ketika tempoh kuarantin, dan hasil ujian makmal mendapati burung yang jumlah keseluruhan bernilai RM23,190 itu didapati positif untuk pengesanan penyakit Avian Influenza.

Prosedur pengimportan burung memerlukan ia dikuarantin di Stesen Kuarantin Haiwan sebelum dibenarkan masuk ke dalam negara, manakala prosedur ujian adalah bagi mencegah penularan wabak penyakit, yang dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan unggas negara terjejas.

“Semua burung yang dirampas dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Piawaian yang telah ditetapkan pada pukul 9.00 pagi Khamis lepas,” kata MAQIS.

Pengimportan tumbuhan, binatang dan karkas dengan penyakit merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman denda maksimum RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.