Tiada orang tengah dalam urusan bekalan vaksin, jamin Sinovac

Tiada orang tengah dalam urusan bekalan vaksin, jamin Sinovac

Sinovac berurusan secara langsung dengan Pharmaniaga, iaitu pemegang pendaftaran produk eksklusif di Malaysia.

Vaksin Sinovac diimport dalam bentuk vial dan produk mentah bagi pembuatan ‘fill-and-finish’ di Malaysia. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Syarikat farmaseutikal China Sinovac Biotech Ltd menyangkal khabar angin bahawa ada pihak ketiga terlibat dalam perjanjiannya untuk membekalkan vaksin Covid-19 kepada Malaysia.

Dalam kenyataan video, Ketua Pegawai Perniagaan Sinovac Helen Yang memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa tiada orang tengah yang terlibat dalam urusan mereka dengan Pharmaniaga Bhd, pemegang pendaftaran eksklusif di Malaysia.

“Kami berurusan secara langsung dengan Pharmaniaga melalui aturan kerajaan dengan kerajaan, tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga,” kata Yang.

Tambahnya, pada masa ini, tiada kelewatan yang tidak dijangka dalam pembekalan vaksin, yang diimport dalam bentuk vial dan produk mentah bagi pembuatan “fill-and-finish” di Malaysia.

“Kami saling memenuhi kewajipan masing-masing, dan semua penghantaran berdasarkan kontrak mengikut jadual,” katanya.

“Kami ingin menegaskan kembali semua vaksin Sinovac Covid-19 yang akan dieksport dari China ke Malaysia mesti melalui pemegang pendaftaran produk di Malaysia, iaitu Pharmaniaga.”

Semalam, Pharmaniaga membuat beberapa laporan polis berhubung penyebaran “mesej berbaur kebencian” mengenai penglibatan syarikat berkenaan dalam perolehan vaksin.

Tanpa memberi perincian lanjut tentang laporan dibuat, Pengarah Urusan Zulkarnain Md Eusope berkata, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab berkenaan jelas mahu mencetuskan kekecohan dan perpecahan dalam masyarakat, sekali gus menjejaskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.