
Syarikat farmaseutikal itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata sejumlah 3.46 bilion saham hak boleh dilepaskan dilanggan sepenuhnya dengan kadar lebihan langganan sebanyak 26.14% sekali gus mencerminkan sokongan dan keyakinan kukuh daripada para pemegang saham sedia ada.
“Sementara itu, pelaksanaan tawaran saham persendirian menarik minat 19 pelabur baharu yang melibatkan 1.67 bilion saham penempatan dengan jumlah nilai sebanyak RM223.7 juta.
“Walaupun terdapat suntikan ekuiti baharu ini, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd kekal sebagai pemegang saham utama kumpulan dengan pegangan keseluruhan sebanyak 43.9%,” katanya.
Pharmaniaga berkata setiap entiti memegang kepentingan ekuiti masing-masing sebanyak 8.7% dan 35.2% dan syarikat itu kekal sebagai syarikat berkaitan kerajaan dengan penekanan berterusan terhadap kepentingan negara dan kebajikan Angkatan Tentera Malaysia.
Ia berkata apabila kedua-dua aktiviti pengumpulan dana itu selesai, kumpulan berkenaan kini bersedia menyempurnakan fasa terakhir pelan regularisasinya iaitu pelaksanaan pengurangan modal yang disasarkan untuk disiapkan menjelang pertengahan Ogos 2025.
“Ini menandakan satu langkah besar ke hadapan dalam pemulihan Pharmaniaga dan usaha untuk keluar daripada status PN17 menjelang suku pertama 2026,” katanya.
Sementara itu, Pharmaniaga dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata bahawa Jakel Medical Sdn Bhd muncul sebagai pemegang saham besar baharunya selepas memperoleh 10% kepentingan, atau 655.745 juta saham.
Pegangan itu diperoleh melalui tawaran saham persendirian pada 29 Julai.