Ada penjawat awam kerja sambil lewa, hanya harap naik pangkat, kata KP Perkhidmatan Awam

Ada penjawat awam kerja sambil lewa, hanya harap naik pangkat, kata KP Perkhidmatan Awam

Mohd Khairul Adib Abd Rahman bimbang sikap sambil lewa penjawat awam akan menjejaskan imej kerajaan dan perkhidmatan dalam kalangan rakyat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata sekiranya mutu perkhidmatan awam ditambah baik, ia dapat menangkis perspektif negatif orang luar terhadap kakitangan kerajaan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman, menempelak sikap segelintir kakitangan kerajaan yang melaksanakan tugas diamanahkan secara sambil lewa.

Khairul berkata, ramai penjawat awam dilihat tidak membantu kerajaan untuk menjana serta merancakkan ekonomi negara, sebaliknya hanya mengharapkan kenaikan pangkat lebih tinggi.

Beliau berkata, penjawat awam seharusnya “menurunkan ego” masing-masing dan bersama-sama dengan rakyat bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

“Penjawat awam sepatutnya perlu ada semangat berkhidmat untuk negara dan rakyat, kita perlu ‘turunkan ego’ untuk bersama dengan rakyat.

Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

“Tetapi sebaliknya mereka kerja sambil lewa, tidak membantu dan berada di takuk lama dan hanya harapkan kenaikan pangkat yang lebih tinggi.

“Sepatutnya selepas lebih setahun penularan wabak Covid-19, penjawat awam perlu lebih menghargai kerana mereka tidak terkesan, masih ada gaji dan elaun yang masuk seperti biasa,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang disiarkan secara langsung di Facebook JPA, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, sekiranya mutu perkhidmatan ditambah baik, ia sekali gus dapat menangkis perspektif negatif orang luar terhadap kakitangan kerajaan.

Beliau memberi contoh tugas dilakukan oleh penjawat awam yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta sukarelawan yang berkhidmat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Saya ada baca satu artikel yang menghargai sukarelawan ditugaskan di WTCKL. Seorang individu ini pergi membawa ibunya seorang warga emas dan ketika tengah beratur ibunya mahu ke tandas.

“Namun, tandas yang paling dekat pun kira-kira 500m, jika ibunya ke tandas mereka perlu berjalan jauh dan beratur semula. Jadi, individu ini pergi pada sukarelawan yang bertugas memberitahu masalah dihadapi.

“Beberapa minit kemudian sukarelawan berkenaan datang dengan kerusi roda dan membawa ibu individu berkenaan ke tandas,” katanya.

Khairul berkata, menerusi artikel itu, individu terbabit mengakui beliau adalah orang yang suka mengadu, namun tindakan sukarelawan itu seharusnya diberikan pujian dan penghormatan.

“Adakah kita perlu berbangga dengan pujian berkenaan walhal yang menjalankan tugas ketika itu adalah sukarelawan, bukannya penjawat awam.

“Saya belum dengar lagi pujian atau sanjungan diberikan oleh orang awam kepada perkhidmatan awam yang bertugas di PPV dan menceritakan orang (yang bertugas) di pusat berkenaan keluar untuk membantu.

“Pujian yang diterima kebanyakan hanyalah pada kelancaran proses untuk mengambil suntikan vaksin itu sahaja.

“Sebagai perkhidmatan awam, kita kena keluar membantu. Kita ini bukannya asing, kita (penjawat awam) dilantik untuk bantu kerajaan selesaikan masalah rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.