Vigneswaran pertahan jawatan Presiden MIC tanpa dicabar

Vigneswaran pertahan jawatan Presiden MIC tanpa dicabar

SA Vigneswaran mendapat sokongan 3,620 daripada 3,808 cawangan MIC di seluruh negara.

Pada pemilihan lepas, SA Vigneswaran memenangi jawatan Presiden MIC, juga tanpa dicabar.
PETALING JAYA:
SA Vigneswaran berjaya mempertahankan jawatan Presiden MIC tanpa bertanding bagi penggal 2021 hingga 2024 pada pemilihan parti hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Presiden MIC, G Rajoo mengumumkan keputusan itu selepas Vigneswaran muncul sebagai satu-satunya calon untuk jawatan berkenaan apabila pencalonan ditutup 1 tengah hari tadi.

Vigneswaran menerima sokongan 3,620 daripada 3,808 cawangan MIC di seluruh negara.

Pada pemilihan lepas, Vigneswaran memenangi jawatan itu, juga tanpa dicabar.

“Saya berterima kasih kepada seluruh warga MIC dan ketua cawangan kerana memberi sokongan kepada saya untuk memimpin parti bagi masa tiga tahun yang akan datang,” katanya selepas proses pencalonan itu di Ibu Pejabat MIC di sini.

Beliau berkata, MIC tidak berpihak kepada perjuangan individu, tetapi mengutamakan rakyat, khasnya kaum India.

Mengenai fokus utama MIC, katanya, ia akan berusaha memahami keperluan mereka dan memastikan undi kaum India diberikan perhatian terperinci.

“Apa yang berlaku pada pilihan raya umum ke-14 yang lepas ialah rakyat terpesong pada janji-janji. Yang kedua, memang kita ada kelemahan dalam parti dan juga kita tidak dapat menjawab tohmahan pada masa singkat.

“Kita telah membaiki masalah-masalah ini, kita dalam proses penubuhan sebuah ‘war room’ yang besar…Ini adalah langkah yang kita ambil untuk memastikan undi kaum India balik ke pangkuan MIC.

“Jangan pula kita mendabik dada kita dapat kerusi banyak, tetapi akhirnya kita kalah. Maka, kita membazirkan masa, wang dan juga memberi ruang kepada orang menuding jari kepada kita bahawa perjuangan kita ini bukan berpihak kepada kemenangan parti, tetapi hanya syok sendiri.”

Vigneswaran berkata, MIC belum memuktamadkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang akan ditandinginya pada PRU15.

Katanya, perkara itu akan dimuktamadkan dalam perjumpaan dengan Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi dan parti komponen lain dalam masa terdekat.

“Untuk mendapatkan kerusi baharu bukan masalah besar, masalah besar ialah kemenangan. Jika kita minta banyak kerusi tetapi tidak menang, tiada guna, baik kita minta apa yang kita boleh menang.”

Katanya, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menentukan masa sesuai untuk mengadakan pemilihan parti di peringkat bahagian, negeri serta pusat.

Walaupun notis pemilihan sudah diserahkan, pemilihan hanya akan diadakan apabila jangkitan Covid-19 bertambah baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.